Saturday, October 31, 2009

Penjual air tebu dituduh bunuh pembantu rumah

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Hardi Effendi Yaacob dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my

MURUGAN dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Klang, semalam selepas didakwa atas tuduhan membunuh pembantu rumahnya minggu lalu.

KLANG: Seorang penjual air tebu didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh pembantu rumahnya, Muntik seorang warga Indonesia, di rumahnya di Taman Sentosa, di sini minggu lalu.

A Murugan, 35, dituduh membunuh Muntik, 36, di rumah nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 Oktober hingga 20 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Murugan yang tidak diwakili peguam. Jika sabit kesalahan, Murugan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Muntik, dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini pada jam 10 pagi, 26 Oktober lalu.

Dia ditemui seorang tukang cuci pada 20 Oktober ketika dikurung dalam tandas di rumah majikannya selepas dipercayai didera, dicukur kepala dan tidak diberi makan selama beberapa hari.

Muntik diselamatkan polis jam 7 petang hari yang sama selepas menerima laporan dan dihantar menjalani rawatan di HTAR.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup memohon kes disebut semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa ini kerana ia mendapat perhatian umum dan dibenarkan oleh Majistret Afifah Mamat.

Manoj yang menemui pemberita kemudian berkata, ibu dan isteri tertuduh yang sebelum ini ditahan reman tidak akan didakwa.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis sudah mengambil keterangan 56 individu berhubung kes itu.

"Dengan keterangan dan bahan bukti yang ada, kita mendapati ada asas untuk menjalankan siasatan dan akan mengambil keterangan saksi lain jika perlu," katanya.

Menteri Kaunselor, Informasi, Sosial dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, pula berkata langkah mempercepatkan siasatan dan pendakwaan mampu meredakan kemarahan rakyat republik berkenaan.

Ia juga langkah terbaik bagi mengelak sentimen negatif terhadap Malaysia yang disebabkan beberapa isu sebelum ini, seterusnya memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

"Di Jakarta, banyak demonstrasi diadakan membantah kejadian ini. Cara terbaik untuk menenangkan keadaan ialah dengan mengenakan hukuman berat terhadap pelaku. Suami Muntik ada memberitahu saya beliau menerima kematian isterinya tetapi tidak akan puas selagi mereka yang bersalah tidak dibawa ke pengadilan.

"Ini juga sebagai peringatan kepada majikan supaya tidak melakukan sewenang-wenangnya terhadap pembantu," katanya.

Sementara itu, jenazah Mantik dihantar pulang ke Surabaya dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) jam 8.15 pagi ini diiringi pegawai kedutaan hingga ke Surabaya sebelum menggunakan jalan darat ke kampungnya di Jeumber, Surabaya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...