Sunday, October 11, 2009

Pekerja Indonesia bantah cubaan cetus ketegangan

CAMERON HIGHLANDS: Sekumpulan pekerja warga Indonesia berkumpul secara aman di hadapan Masjid Kayangan, Brinchang, di sini hari ini bagi menyuarakan bantahan terhadap usaha kumpulan tertentu di Indonesia yang cuba mencetuskan ketegangan dengan Malaysia.

Kumpulan berkenaan yang diketuai seorang pekerja binaan, Ahmad Thoyib Ma'sum, mula berkumpul di hadapan masjid berkenaan pada jam 10.15 pagi sambil memegang beberapa sepanduk yang antara lain menyatakan "Kami aman di Malaysia", "No ganyang Yes kenyang", "Terima kasih bantuan di Padang" dan "Jangan tutup rejeki kami" sebelum bersurai secara aman 10 minit kemudian selepas diarahkan polis.

Ahmad Thoyib, 53, dari Jawa Timur, yang ditemui pemberita berkata kumpulan berkenaan yang mewakili lebih 500 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands menaruh harapan agar sebarang isu yang membabitkan dua negara serumpun diselesaikan secara musyawarah dan bukannya melalui tindakan kekerasan.

Beliau yang bekerja di sini sejak 20 tahun lepas juga menyuarakan rasa tidak setujunya terhadap tindakan sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk "mengganyang" Malaysia berikutan beberapa isu berbangkit.

"Itu saya tidak setuju langsung. Rakyat Indonesia bukan keseluruhannya macam itu. Rakyat Indonesia di sini tidak ada yang terpengaruh dengan "Ganyang Malaysia" sebab di sini tempat cari rezeki, kita tidak mahu kekacauan... rakyat di sini pun tidak mahu. Kitakan serumpun," katanya yang turut menafikan telah diupah ataupun dipaksa untuk membuat bantahan tersebut.

Beliau juga menasihatkan warga Indonesia di Malaysia tidak terpengaruh dengan beberapa isu berbangkit dan terus mencari rezeki secara aman di negara ini bagi menyara hidup anggota keluarga masing-masing di Indonesia.

Bendera, kumpulan yang tidak berdaftar di Indonesiau, kononnya mahu menyerang negara ini dengan buluh runcing pada 8 Oktober lalu berikutan beberapa isu berkaitan kedua-dua negara, termasuk isu tarian Pendet dari Bali yang didakwa oleh mereka dicuri Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap pekerja berkenaan walaupun perhimpunan itu dilakukan tanpa kebenaran polis.

"Tidak ada apa-apa tindakan terhadap mereka kerana mereka buat bantahan secara aman tanpa membabitkan kekecohan. Mereka juga mematuhi arahan polis untuk bersurai setelah diminta berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 pekerja warga Indonesia di Cameron Highlands yang terbabit dalam sektor perladangan, pembinaan dan juga pembantu rumah. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...