Thursday, October 1, 2009

Papa syor majikan diberi kursus hak pembantu rumah

Oleh Azman Mahmood

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) mencadangkan kerajaan supaya turut mewajibkan majikan, khususnya bukan Islam, mengikuti kursus mengenai tanggungjawab terhadap hak pembantu rumah asing sebagai pekerja.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata langkah itu dapat mengurangkan masalah yang mungkin timbul seperti penderaan terhadap pembantu rumah asing beragama Islam yang dilarang bersolat atau dipaksa memasak daging babi.

"Sebab itu Papa cadangkan majikan juga mengambil kursus khas supaya mereka faham tanggungjawab dan hak pembantu rumah kerana pada masa ini pembantu rumah saya perlu mengambil kursus berkenaan.

"Seperti juga pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, mereka juga diwajibkan mengikuti kursus perkahwinan supaya memahami alam rumah tangga dan hidup dalam rukun damai.

"Jadi, agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Kerja, Imigresen, polis, kedutaan negara sumber boleh membantu untuk memberi kefahaman kepada majikan menerusi kursus khas berkenaan selain kursus induksi yang dijalankan oleh Papa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual langsung menerusi "Cover It Live" Berita Harian Online di Balai Berita di sini pagi tadi.

Menerusi temu bual selama kira-kira dua jam itu, kira-kira 4,500 pembaca melayari laman web Berita Harian Online untuk mengikutinya.

Pembaca turut mengemukakan pandangan dan soalan berkaitan isu pembantu rumah asing kepada Raja Zulkepley.

Mengenai pembantu rumah asing sering melarikan diri, Raja Zulkepley berkata kerajaan perlu tegas menangani masalah itu dengan menangkap dan mengharamkan mereka terbabit daripada memasuki semula negara untuk bekerja.

Katanya, kerajaan juga perlu membanteras kegiatan membawa masuk pembantu rumah asing secara haram oleh sindiket tertentu.

"Di Hong Kong dan Taiwan, pembantu rumah asing yang melarikan diri akan ditangkap dan akan dikenakan tindakan, tetapi di negara ini bila ada amah yang lari, ada pihak lain yang menggunakan khidmat pembantu rumah haram itu.

"Jadi, mesti ada kempen 'usah guna amah lari', dengan cara ini akan kurangkan permintaan di luar (majikan guna pembantu rumah haram yang lari dari majikan asal)," katanya.

Ditanya jika kerajaan bersetuju membenarkan perkhidmatan pembantu rumah mengikut jam, beliau berkata Papa sudah mengemukakan kertas cadangan kepada kerajaan Jumaat lalu untuk pertimbangan.

Beliau juga menjelaskan kadar bayaran antara RM25 hingga RM50 yang dinyatakan sebelum ini juga bukan muktamad dan akan ditentukan kemudian,

"Kalau kerajaan membenarkan sistem kerja pembantu rumah asing dibayar mengikut jam atau harian, Papa rancang mulakan di Lembah Klang dulu sebagai percubaan.

"Syarikat yang berkemampuan saja akan dipilih dan ada kemudahan seperti asrama, pengangkutan, pengurusan baik dan modal yang besar bagi pastikan kejayaan rancangan ini.

"Kita sudah kenal pasti 10 syarikat yang mempunyai keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan pembantu rumah bekerja mengikut jam," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...