Wednesday, October 7, 2009

Masalah PATI semakin serius


Sebahagian warga asing dari Sri Lanka dan India ditahan oleh Imigresen dalam operasi bersepadu di sebuah villa di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, baru-baru ini

JOHOR BAHRU 6 Okt. – Kebanjiran warga asing ke negeri ini dilihat sebagai satu senario yang semakin membimbangkan kerana bilangan mereka kian bertambah dari semasa ke semasa.

Malaysia yang merupakan ‘lubuk emas’ dan dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang aman dan mempunyai banyak peluang pekerjaan menyebabkan warga asing tertarik untuk bekerja di Malaysia hingga jumlah mereka semakin meningkat.

Ada di antara mereka masuk ke negara ini secara sah dan ada juga yang menyusup masuk secara haram tanpa sebarang dokumen demi mencari sumber pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga di kampung halaman.

Masalah itu menyebabkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga menimbulkan satu keadaan yang kurang menyenangkan penduduk tempatan.

Pengarah Imigresen Johor, Mohd. Nasri Ishak berkata, kebanjiran itu merupakan satu gejala tidak sihat, melanggar undang-undang dan menjejaskan ketenteraman rakyat.

“Terdapat juga di antara mereka yang pada mulanya memasuki negara ini secara sah dan mengikut saluran yang betul tetapi pada akhirnya mereka cuba untuk menjadi sebahagian daripada warganegara bagi mengelakkan diri daripada dihantar pulang apabila tamat tempoh.

“Peluang pekerjaan yang banyak merupakan antara perkara utama yang menjadi sebab mereka tidak mahu pulang ke negara asal mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasri berkata, antara kesalahan utama yang sering dilakukan PATI di negara ini ialah tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan dan perkara ini sememangnya dipandang serius oleh Jabatan Imigresen negeri.

Beliau menjelaskan, pelbagai alasan akan diberikan bagi meraih simpati daripada pihak penguasa bagi mengelakkan daripada dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Tiada masa dan lupa merupakan an

tara alasan yang sering diterima daripada golongan ini apabila mereka ditahan atas kesalahan tinggal melebihi masa.

“Walau apa pun alasan yang diberikan, kami tetap akan mengenakan tindakan terhadap mereka berdasarkan peruntukan undang-undang yang disediakan pihak kerajaan,” tegasnya.

Selain itu, katanya, penyalahgunaan pas pekerjaan dan pas lawatan sosial juga merupakan salah satu daripada kesalahan yang sering dilakukan golongan tersebut.

Katanya, ada di antara mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk melakukan pekerjaan dan ada juga yang menggunakan pas pekerjaan sebagai pembantu rumah untuk melakukan pekerjaan lain seperti bekerja di kedai makan.

“Ada mendapat kebenaran untuk bekerja di kedai makan tetapi bekerja di kilang dan ada juga yang bekerja di ladang kerana mereka mendakwa gaji yang diterima lebih tinggi.

“Meskipun perkara ini sering dipandang remeh bagi mereka namun ia merupakan satu kesalahan mengikut Akta Imigresen 1965/63,” katanya.

Beliau juga berkata, antara kesalahan lain yang turut dilakukan ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, menggunakan dokumen palsu, menggaji pekerja asing tanpa permit, melindungi pesalah di bawah Akta Imigresen, memiliki pasport palsu dan memiliki pasport bukan milik sendiri.

Mohd. Nasri berkata, warga Indonesia, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, India, Thailand, Nepal dan Sri Lanka merupakan yang paling ramai memasuki negara ini untuk mencari pekerjaan.

“Sebelum ini pada sekitar tahun 90-an Jabatan Imigresen Johor pernah menahan warga British dan Bostwana yang memasuki negeri ini secara haram.

“Pada waktu itu ada juga kita menahan warga asing daripada Nigeria dan Mauritius tetapi kebelakangan ini hanya warga asing dari Asia sahaja yang memasuki negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata, setakat ini lebih daripada 3,000 tangkapan telah dilakukan dan kebanyakan mereka sudah dihantar pulang ke negara asal.

“Pihak kami akan sentiasa menjalankan risikan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan PATI ini dapat dibanteras secara sepenuhnya pada masa akan datang.

“Kita melihat kebanjiran PATI di negeri ini sebagai sesuatu yang amat membimbangkan sekiranya tidak dibanteras secara menyeluruh kerana bilangannya akan bertambah jika tidak dikawal,” katanya.

Mohd. Nasri berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan satu operasi bersepadu secara besar-besaran untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata, fokus akan diberikan kepada pintu-pintu masuk utama di negeri ini dan juga kawasan-kawasan lain berdasarkan maklumat yang diberikan orang ramai.

“Kita akan menggunakan segala maklumat risikan serta maklumat yang ada bagi membanteras kegiatan ini secara menyeluruh di samping memberkas dalang yang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berhubung masalah PATI di kawasan kediaman mereka, diharap dapat menyalurkan maklumat secara terperinci kepada Jabatan Imigresen bagi membolehkan tindakan segera diambil. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...