Friday, October 23, 2009

Malaysia, Indonesia patut cari dalang pencetus kekecohan

MELIHAT keakraban hubungan Indonesia-Malaysia khususnya pada peringkat kepemimpinan kedua-dua negara, amat sukar untuk kita memahami bagaimana pergeseran boleh tercetus berulang kali, khususnya di kalangan rakyat negara itu.

Memang lumrah setiap hubungan, ada pasang surutnya, tetapi melihat banyaknya persamaan antara Indonesia dan Malaysia, ia cukup menghairankan kerana hubungan antara pemimpin sentiasa kukuh.

Bukti kekukuhan hubungan pemimpin itu jelas apabila Datuk Seri Najib Razak sendiri hadir pada majlis angkat sumpah jawatan Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua Selasa lalu. Susilo pula mengumumkan Malaysia akan menjadi negara pertama dilawatinya sebaik menerima mandat itu.

Dalam perbincangan mereka pula, kedua-duanya menegaskan hubungan dua negara sentiasa mesra dan amat baik. Dengan yang demikian, persoalan yang menuntut jawapan ialah bagaimana dalam keadaan hubungan peringkat tertinggi yang amat baik, masih ada rakyat Indonesia yang tidak jemu-jemu cuba mencetuskan permusuhan dengan negara ini.

Walaupun mungkin segelintir, ia merunsingkan kita kerana perbuatan mereka mendapat liputan meluas media di sana dan antarabangsa, sedangkan banyak lagi isu lain yang dibangkitkan kelompok kecil masyarakatnya, langsung tidak diberi perhatian. Memang media Indonesia mempunyai dasar yang berbeza dengan media negara ini, tetapi tindakan mereka itu membayangkan seolah-olah wujud 'tangan-tangan hitam' yang mendalanginya.

Satu lagi persoalan yang harus diteliti ialah dalam sesi perbincangan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media kedua-dua negara, Indonesia sentiasa memberi reaksi positif dalam usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Menerusi pelbagai seminar contohnya, kedua-dua pihak sentiasa memperkukuh komitmen meningkatkan lagi hubungan sesama mereka, malah merakamkan kekecewaan terhadap pelbagai kemelut yang berlaku.

Daripada isu seperti Ambalat, pembantu rumah, batik, tarian Pendet, hinggalah kisah percintaan selebriti dengan putera raja, semua mengakui hakikat pergeseran mengenainya tidak harus berlaku. Namun hakikatnya, ia tetap berlaku dan mungkin akan terus berulang dari semasa ke semasa.

Kita tidak mengatakan Malaysia mahu jaminan selepas ini tiada lagi isu seperti itu ditimbulkan di Indonesia kerana ia mustahil dicapai. Begitupun, ia cukup aneh kerana jika semua pihak tidak mahu masalah itu berlaku, mengapa ia terus timbul dan siapa pula yang mendalanginya.

Oleh itu, kita berharap sebarang persidangan atau dialog antara kedua-dua pihak selepas ini dapat mengalih tumpuan daripada sekadar memperakui komitmen memperkukuh hubungan kepada membongkar siapa dalang di sebaliknya dan apakah matlamat mereka.

Mungkin dengan cara itu, hubungan dua hala antara dua negara serumpun ini dapat benar-benar dimajukan, sekali gus mengelak kelompok tertentu rakyat Indonesia di sana terus diperalatkan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...