Tuesday, October 20, 2009

Malaysia-Indonesia bincang masalah dua hala hari ini

JAKARTA 19 Okt. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini tengah malam ini untuk lawatan kerja sehari dan merupakan lawatan kedua beliau sejak menjadi pemimpin nombor satu negara.

Lawatan Perdana Menteri itu selain menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Dewan Permesyuaratan Rakyat, esok, ia juga bagi membincang masalah hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Masalah itu akan dibincangkan pada mesyuarat hubungan dua hala yang diadakan pada sebelah petang esok.

Hubungan Malaysia dan Indonesia ketika ini agak tegang berikutan beberapa pihak di Indonesia melakukan tindakan provokasi terhadap rakyat Malaysia di negara republik itu seperti tindakan mengusir atau 'sweeping Malaysia'.

Badan bukan kerajaan di Indonesia itu juga turut mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan mendakwa telah menghantar sukarelawannya menyusup ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Pertemuan itu kelak diharap akan dapat menjernihkan kembali situasi yang agak keruh tersebut yang bukan sahaja mengancam keselamatan rakyat kedua-dua buah negara berjiran, bahkan menjejaskan hubungan perdagangan yang telah sedia terjalin.

Selain itu diharapkan juga pertemuan tersebut dapat menyelesaikan pelbagai isu lain termasuk tindakan kerajaan Indonesia membekukan penghantaran warganegaranya daripada bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Dijangka isu sempadan perairan kedua-dua buah negara iaitu di kawasan Ambalat akan terus diperbincangkan bagi mengelakkan salah faham sehingga kedua-dua buah negara saling tuduh-menuduh bahawa angkatan tentera negara jiran sengaja bertindak menceroboh perairan masing-masing.

Walaupun sebelum ini telah dipersetujui rondaan bersama dijalankan oleh kedua-dua angkatan tentera di kawasan berkenaan, pertemuan kali ini mungkin akan menilai sejauhmana keberkesanannya dan dilaksanakan dengan baik. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...