Friday, October 2, 2009

Majikan bukan Islam wajar jalani kursus sensitiviti

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) mencadangkan kerajaan supaya mewajibkan majikan khususnya bukan Islam mengikuti kursus khas mengenai tanggungjawab terhadap hak pembantu rumah sebagai pekerja, sebelum mengambil pembantu rumah asing.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata langkah itu penting bagi mengatasi masalah seperti rasa tidak puas hati majikan terhadap pembantu rumah beragama Islam yang dilarang bersolat atau dipaksa memasak daging babi, sehingga terdorong kepada melakukan penderaan.

Katanya, ketika ini hanya pembantu rumah asing saja mengikuti kursus induksi diadakan oleh agensi atau yang diwajibkan kerajaan negara sumber seperti memberi kefahaman tugas dan tanggungjawab pembantu rumah, adat resam dan budaya serta perkara berkaitan undang-undang negara ini yang perlu dipatuhi .

“Jadi, Papa cadangkan majikan juga mengikuti kursus khas supaya faham tanggungjawab pembantu rumah beragama Islam. Seperti pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, mereka juga diwajibkan mengikuti kursus perkahwinan supaya memahami hidup berumah tangga supaya aman damai.

“Jabatan Tenaga Kerja, Imigresen, polis, kedutaan negara sumber boleh membantu menjayakan kursus ini untuk memberi kefahaman kepada majikan selain kursus induksi yang dijalankan Papa. Ketika ini 80 peratus majikan yang menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia adalah bukan Islam,” katanya dalam temu bual langsung menerusi ‘Cover It Live’ Berita Harian Online di Balai Berita di sini, semalam.

Menerusi temu bual selama kira-kira dua jam itu, kira-kira 4,500 pembaca melayari laman Berita Harian Online untuk mengikutinya. Pembaca turut mengemukakan pandangan dan soalan berkaitan isu pembantu rumah asing kepada Raja Zulkepley.

Mengenai pembantu rumah asing sering melarikan diri, Raja Zulkepley berkata, kerajaan perlu tegas menangani masalah ini termasuk membanteras kegiatan membawa masuk pembantu rumah asing secara haram oleh sindiket haram yang kemudian dibekalkan kepada majikan.

“Di Hong Kong dan Taiwan, pembantu rumah asing yang melarikan diri akan ditangkap dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang, tetapi di negara ini bila ada amah lari, ada pihak lain pula menggunakan khidmat pembantu rumah terbabit.

“Jadi, mesti ada satu kempen ‘Usah guna amah lari’ untuk memberi kesedaran kesan menggunakan pembantu rumah asing yang lari dan secara haram,” katanya.

Ditanya jika kerajaan setuju membenarkan pembantu rumah bekerja secara harian dan perkhidmatan dibayar mengikut jam, apakah Papa mampu melaksanakannya, beliau berkata ketika ini konsep berkenaan hanya pada peringkat cadangan dan belum ada lagi peraturan itu.

Katanya, dari segi bayaran, perkhidmatan mengikut jam antara RM25 hingga RM50 yang dicadangkan Papa juga bukan muktamad dan kadar itu akan dikaji jika kerajaan memberi kelulusan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...