Wednesday, October 28, 2009

Kerajaan Malaysia rakam ucapan simpati, takziah

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Kerajaan Malaysia hari ini merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Mantik Hani, 36, pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai akibat didera semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya berkata, kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja tanpa mengira kewarganegaraan atau sektor pekerjaan.

Menurutnya, kerajaan melalui kementerian akan memberi bantuan yang diperlukan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur bagi menguruskan perkara yang berkaitan.

“Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada keluarga Mantik Hani dan juga seluruh rakyat Indonesia.

“Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi mengenainya dan menjatuhkan hukuman setimpal kepada pesalah,” katanya.

Semalam, Mantik Hani menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10 pagi selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejak 20 Oktober lalu.

Sementara itu, Konsul Penerangan Sosio dan Budaya KBRI, Widyarka Ryananta berkata, pihak kedutaan telah menghubungi suami mangsa, Suparmo di Jember, Jawa Timur bagi memaklumkan kematian Mantik Hani.

Menurutnya, suami mangsa terkejut dan bersedih dan meminta pihak kedutaan menguruskan penghantaran jenazah pulang ke Indonesia. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...