Wednesday, October 7, 2009

Kehadiran warga asing di Metro Kajang mencurigakan

Pengunjung tempatan kurang senang, perniagaan terjejas teruk

KAJANG: Kehadiran beratus-ratus warga asing yang tidak diketahui status mereka memenuhi pusat membeli-belah Metro Kajang dan kawasan sekitarnya setiap hujung minggu menimbulkan kebimbangan kepada peniaga dan pengunjung tempatan.

Mereka bimbang dengan sikap warga asing terbabit yang dalam keadaan mencurigakan dan melepak tidak tentu arah.

Tinjauan Sentral mendapati warga asing terbabit menjadikan pusat berkenaan untuk berkumpul dan berjumpa rakan senegara mereka tanpa perasaan takut ditangkap jika tidak mempunyai permit kerja.

Peniaga, Abdul Al-Qayum Khazin, 24, menyatakan rasa kurang senangnya dengan kehadiran warga asing setiap hujung minggu kerana ia menjejaskan perniagaan disebabkan penduduk tempatan enggan datang atas faktor keselamatan.

“Saya pernah menyaksikan pengunjung wanita warga tempatan menjadi mangsa ragut warga asing ini. Jadi ada kebimbangan di kalangan penduduk tempatan untuk mengunjungi pusat beli-belah ini.

“Bukan kita tidak mahu menerima kehadiran mereka, tetapi masalahnya ia menjejaskan pendapatan kami disebabkan kurangnya rakyat tempatan akibat kehadiran mereka,” katanya.

Pelajar Kolej Universiti Islam Selangor, Luqmanul Hakim, 22, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah pendatang asing itu.

“Mereka memonopoli kemudahan perkhidmatan awam, gerai makanan dan melepak di kaki lima yang boleh mencemarkan imej Malaysia pada mata pelancong yang datang ke sini” katanya.

Sementara itu, seorang warga asing yang bekerja di kilang elektronik dan enggan gambarnya dirakam, Putra Edwan Sapuan, 23, berkata dia dan rakannya tidak mempunyai masalah melepak di situ hujung minggu kerana tiada gangguan pihak berkuasa. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...