Saturday, October 17, 2009

Iklan spa gadis antarabangsa

KUALA LUMPUR: Sindiket pelacuran tempatan dikesan mengiklankan perkhidmatan seks ‘gadis antarabangsa’ dengan menampal ratusan poster di lokasi awam untuk menarik perhatian lelaki hidung belang yang berminat.

Sindiket itu yang beroperasi secara sulit menawarkan perkhidmatan spa dan seks membabitkan gadis pelbagai negara antaranya dari China, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina selain gadis tempatan dengan harga bermula RM188 bagi sekali perkhidmatan.

Seorang peniaga di Pasar Seni di sini, Zuridawati Abdul Majid, 27, berkata dia mula menyedari kewujudan puluhan, malah ratusan poster iklan seks itu ketika berjalan melalui kaki lima bersebelahan pusat tumpuan pelancong asing berkenaan.

Menurutnya, poster iklan seks terbabit bukan hanya dilekatkan di dinding bangunan, malah turut ditampal di pondok telefon awam, tiang lampu serta cermin bangunan.

“Saya tahu ia iklan perkhidmatan seks berikutan iklan sama seperti ini sudah kerap kali ditampal sebelum ini dan ditanggalkan kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kebanyakan iklan ini mempunyai persamaan berikutan ia bukan ditulis dengan tangan sebaliknya dihasilkan melalui cantuman perkataan yang digunting daripada majalah atau surat khabar. Malah wanita seksi yang digunakan pada iklan turut diambil daripada majalah untuk menarik perhatian orang ramai,” katanya.

Walaupun tidak lagi diletakkan gambar wanita bogel seperti sebelumnya, namun perkataan spa istimewa, harga perkhidmatan yang pelbagai serta gambar wanita mengghairahkan cukup untuk memberitahu tujuan iklan itu ditampal.

“Iklan ini bukan hanya mencacatkan pemandangan di lokasi tumpuan ramai ini, malah boleh menyebabkan salah faham di kalangan pelancong asing yang mungkin menyangka aktiviti pelacuran mudah diperoleh.

“Saya percaya ahli sindiket melakukan kegiatan menampal poster iklan seks terbabit pada waktu malam di kawasan ini bagi mengelakkan aktiviti itu dihidu,” katanya.

Sementara itu, wartawan Harian Metro yang menghubungi nombor telefon bimbit tertera pada iklan itu berjaya berbual dengan seorang lelaki yang dipercayai ahli sindiket berkenaan.

Melalui perbualan singkat itu, lelaki berkenaan memberitahu menyediakan khidmat dua dalam satu iaitu spa dan hubungan istimewa dengan harga berbeza mengikut negara gadis dipilih.

Lelaki terbabit mendakwa, gadis berasal dari Indonesia boleh dilanggan pada harga RM188, diikuti gadis China (RM200), Thailand (RM230) dan Vietnam (RM260) selain gadis tempatan.

Bagaimanapun, ketika diminta alamat penuh bagi memudahkan spa itu dikunjungi, lelaki berkenaan memutuskan talian dipercayai kerana mengesyaki ada pihak cuba membongkar kegiatan mereka. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...