Wednesday, October 21, 2009

Hubungan Malaysia–Indonesia akrab


Najib Tun Razak bersalaman dengan Susilo Bambang Yudhoyono pada majlis resepsi di Istana Merdeka di Jakarta, semalam. Turut hadir Rosmah Mansor, Ani Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono. – BERNAMA

JAKARTA 20 Okt. – Hubungan Malaysia dan Indonesia tidak pernah dalam situasi pasang surut tetapi sentiasa akrab sepanjang masa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang berada di Jakarta untuk menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, beliau yakin situasi itu akan berterusan.

“Saya hari ini menghadiri majlis mengangkat sumpah dan pemasyhuran SBY sebagai Presiden dan ia adalah tanda persahabatan yang amat akrab.

“Kehadiran saya amat dialu-alukan dan diterima dengan tulus ikhlas. SBY sendiri mengucapkan terima kasih kehadiran saya dan maklumkan sebagai balasan Malaysia menjadi negara pertama akan dilawati iaitu pada 11 November ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd di sini hari ini.

Najib diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman. Turut hadir pada majlis angkat sumpah Presiden Indonesia itu ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Timor Leste, Jose Ramos Horta; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Rudd.

Susilo, Presiden keenam Indonesia mengangkat sumpah sebagai Presiden bagi penggal keduanya untuk tempoh 2009-2014 setelah memenangi pilihan raya secara langsung 8 Julai lalu.

Najib berkata, Malaysia dan Indonesia sentiasa mencari jalan dalam menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit.

Menurut beliau, masalah yang dihadapi kini adalah hubungan antara rakyat berikutan terdapat kumpulan kecil yang melakukan tindakan dan mendapat liputan meluas media.

“Kepimpinan kedua-dua buah negara berada pada tahap baik dan selesa, begitu juga hubungan kedua-dua Menteri Luar,” kata Najib. – Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...