Friday, October 30, 2009

Helah PATI guna kedai terbongkar

PETALING JAYA 29 Okt. - Helah sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan premis perniagaan sebagai rumah, terbongkar dengan penahanan 15 warga asing dalam satu operasi di Seksyen 19, di sini tengah malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah malam, kesemua PATI tersebut ditahan di Blok B dan C, Flat Damansara Bestari di sini, ketika sedang nyenyak tidur.

Operasi dilakukan oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Ketua Balai Polis Sea Park, Cif Inspektor Mohd. Sahar Mohd. Yunus berkata, kesemua PATI itu ditemui setelah seorang daripada warga asing yang diperiksa menunjukkan lokasi persembunyian tersebut.

Katanya, dalam operasi selama dua jam itu, seramai 127 warga asing telah diperiksa di kawasan terbabit.

"Kita terpaksa memecahkan pintu premis itu. Hasil pemeriksaan menemui 15 warga Indonesia dan Bangladesh yang tidak memiliki sebarang dokumen.

"Selain mereka, lima lagi warga asing ditahan kerana memiliki dokumen meragukan," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini awal pagi ini.

Beliau menambah, pihaknya juga turut memeriksa 25 buah kenderaan yang dimiliki oleh warga asing itu.

Mohd. Sahar memberitahu, kesemua PATI yang ditahan itu akan dihantar ke depot tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, operasi sedemikian akan diteruskan selepas ini bagi mencegah kegiatan jenayah di tempat-tempat yang terlibat termasuk lokasi tempat tinggal PATI. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...