Sunday, October 18, 2009

'Guna sistem radar kesan pendatang'

KLUANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta segera memasang sistem radar bagi mengesan kehadiran bot yang membawa pendatang asing tanpa izin menyeludup masuk menerusi pantai di Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata walaupun pasukan keselamatan mengetatkan kawalan di perairan serta pantai Johor, kehadiran pendatang tanpa izin terus berlaku, sekali gus memerlukan sistem radar dipasang bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.

"Radar itu boleh mengesan kehadiran bot tidak kira siang atau malam dan saya percaya penggunaannya mampu meningkatkan kawalan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini melalui kawasan pantai di Johor.

"Kita bukan saja bimbang dengan kehadiran pendatang tanpa izin yang masuk ke negara ini secara haram, tetapi kita tidak mahu Johor terus dijadikan transit penyeludupan manusia ke negara lain seperti Australia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Warga Tentera Bersama Awam di Casa Perwira, kediaman rasmi Panglima 7 Briged, Brig Jen Datuk Abu Musa A Rahman, di sini semalam.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada 11 anggota tentera yang cedera ketika menjalankan tugas.

Turut menerima sumbangan, 65 pesara tentera yang mengalami kecederaan kekal ketika terbabit dalam operasi membanteras pengganas komunis, 93 balu tentera serta 53 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Kluang.

Abdul Ghani berkata, pantai Johor terlalu panjang menjangkau 1,000 kilometer dan pasti sukar bagi pasukan keselamatan untuk mengawasinya secara menyeluruh, tetapi dengan adanya sistem radar, tugas pengawasan akan lebih mudah.

Sementara itu, Abu Musa berkata, ATM sudah membuat uji nilai sistem radar yang sesuai dipasang di pantai Johor dengan proses pemasangan dijangka dapat dilakukan tidak lama lagi di lokasi dikenal pasti.

"Kami sedar keperluan sistem radar untuk mengesan kehadiran pendatang asing. Sistem radar sudah digunakan dalam Ops Pasir di Sabah dan ternyata ia amat berkesan untuk mengesan kehadiran kapal atau bot asing yang menceroboh perairan negara," katanya.

Katanya, selain penggunaan teknologi terkini, tentera juga memerlukan kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara, khususnya di Johor dengan menyalurkan maklumat berkaitan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...