Sunday, October 18, 2009

GAGAL MENJADI MAJIKAN YANG BAIK : 304 majikan dikompaun

KOTA TINGGI 17 Okt. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor mengesan 515 majikan di Johor Bahru masih tidak mendaftar dengan pertubuhan itu.

Pemangku Pengarah Perkeso Johor, Mustafa Draman berkata, daripada jumlah itu, 304 majikan dikenakan kompaun serta-merta atas kesalahan tidak berdaftar dengan Perkeso.

"Tindakan itu diambil di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan Peraturan Am AKSP 1971," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Taklimat dan Dialog Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat di Pejabat Daerah Kota Tinggi di sini semalam.

Seramai 28 pemimpin masyarakat hadir pada program itu yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba.

Mustafa berkata, terdapat kira-kira 52,000 majikan di sekitar Johor Bahru manakala lebih 94,000 majikan di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, tindakan terhadap mereka dijalankan dalam operasi penguatkuasaan pada Ogos lalu dengan mengeluarkan kompaun antara RM500 hingga RM1,000 kepada majikan yang didapati bersalah.

"Majikan yang gagal menjelaskan kompaun boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya

Mustafa memberitahu, walaupun Ops Kesan Perkeso telah tamat namun usaha mengesan majikan yang tidak berdaftar akan diteruskan di setiap daerah dari semasa ke semasa.

Justeru, katanya, majikan yang masih belum berdaftar boleh berbuat demikian di pejabat Perkeso Johor Bahru atau menghubungi di talian 07-2282700 & 07-2282727 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...