Thursday, October 15, 2009

Enggan ganti amah lari

KUALA LUMPUR: Seorang artis wanita popular yang menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah warga Indonesia disyaki memperdaya pelanggan apabila menyediakan amah yang sakit dan enggan bekerja.

Difahamkan, pelakon drama bersiri popular yang juga seorang penyanyi itu menjadi ejen pembantu rumah dengan berkongsi perniagaan bersama seorang rakan wanitanya.

Helah ejen terbabit hanya disedari mangsa selepas pembantu rumah diberikan artis itu mengadu sakit hanya selepas dua minggu bekerja dan mendakwa tidak dapat melakukan kerja rumah lagi.

Berikutan itu, mangsa menghubungi artis berkenaan serta rakan kongsinya untuk mengadu hal terbabit, namun tidak diendahkan.

Mangsa akhirnya membuat laporan polis, Isnin lalu, selepas pembantu rumahnya melarikan diri hanya selepas lima bulan bekerja.

Menurut mangsa yang juga seorang jurujual berusia 20-an dan enggan dikenali, pembantu rumahnya itu meninggalkan anak perempuannya yang berusia dua tahun bersendirian di apartmennya di Jalan Ipoh di sini.

“Saya geram betul. Ada ke patut amah itu meninggalkan anak saya berseorangan di luar rumah,” katanya.

Katanya, dalam kejadian jam 3 petang Isnin lalu, dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku terhadap anaknya yang ditemui seorang pekerja warga Bangladesh yang kemudian terus menghubunginya.

“Saya dan isteri yang sedang bekerja bergegas pulang ke rumah selepas mendapat tahu hal berkenaan sebelum menemui anak kami sedang menangis bersama lelaki warga asing terbabit.

“Kami memeriksa seluruh badan anak jika dia mendapat apa-apa kecederaan sebelum mendapati barang kemas yang dipakai anak saya sudah tiada,” katanya.

Berasa curiga, dia bergegas pulang ke rumah sebelum mendapati komputer riba juga lesap menyebabkan kerugian kira-kira RM33,000.

Difahamkan, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen itu, pembantu rumah terbabit melarikan diri dengan menaiki sebuah teksi.

Lelaki terbabit menghubungi artis dan rakan kongsinya memberitahu hal berkenaan, namun kedua-duanya hanya mengambil sikap lepas tangan.

“Apabila diadukan kepada rakan dan ejen berkenaan pembantu rumah itu menghilangkan diri selain melarikan barangan berharga milik saya, artis itu memberikan pelbagai alasan termasuk berjanji menggantikannya.

“Malah, mereka turut menyuruh saya membuat laporan polis jika tidak puas hati,” katanya.

Mangsa berkata dia mengenali rakan perniagaan artis terbabit melalui kawannya lima bulan lalu sebelum tertarik mendapatkan pembantu rumah selepas bertemu artis berkenaan.

“Saya membayar RM1,000 sebelum diperkenalkan dengan pembantu rumah berkenaan dan membuat pembayaran RM5,000 lagi.

“Namun, saya kecewa kerana selepas dua minggu bekerja, pembantu rumah terbabit memaklumkan yang dia sakit dan enggan bekerja lagi,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...