Friday, October 16, 2009

Beku pengambilan pekerja Bangladesh tak jejas hubungan dua hala

KUALA LUMPUR: Hubungan antara Bangladesh dan Malaysia tidak terjejas sebaliknya tetap kukuh dan akrab walaupun pengambilan pekerja Bangladesh ke negara ini dibekukan pada 2007, kata Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A K M Atiqur Rahman.

Beliau berkata pembekuan itu tidak akan merapuhkan hubungan baik yang telah lama terjalin kerana kedua-dua negara mempunyai ikatan kuat daripada segi agama, sejarah dan kebudayaan.

"Kami faham kedudukan Malaysia, jadi kami sedang berusaha mencari penyelesaian. Ini bukan isu besar," katanya kepada di sini hari ini.

Terdahulu, Atiqur Rahman menghadiri sesi taklimat untuk media di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di sini tentang 'Showcase Bangladesh 2010' yang bakal diadakan dari 8 hingga 10 Januari tahun depan di PWTC.

Pameran perdagangan yang julung kali diadakan itu akan disertai 65 syarikat dari Bangladesh yang akan mempamerkan produk, perkhidmatan dan kebudayaan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan pameran anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Bangladesh, Persatuan Kerjasama Selatan-Selatan Malaysia, Persekutuan Pengeluar dan Pengilang Malaysia (FMM) dan dewan perniagaan di Bangladesh.

Atiqur Rahman berkata nasib lebih 400,000 pekerja Bangladesh yang masih bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan di Malaysia, juga bukan merupakan satu isu kerana kelulusan visa mereka dibuat sebelum pembekuan itu diumumkan kabinet.

Kabinet pada Oktober 2007 memutuskan untuk membekukan pengambilan pekerja Bangladesh berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak pelbagai masalah kepada negara ini termasuk masalah sosial.

Sebelum ini Malaysia pernah membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh pada tahun 1999.

Pada Mac 2009, Kabinet juga telah membatalkan serta-merta semua visa kemasukan pekerja asing dari Bangladesh yang diluluskan pada 2007 tetapi masih belum memasuki Malaysia.

Tindakan itu selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menerima sebarang permohonan baru melainkan untuk sektor-sektor tertentu yang kritikal. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...