Sunday, October 11, 2009

Banteras pelacuran ke akar umbi

TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS) mengambil berat terhadap pendedahan Utusan Malaysia mengenai operasi pelacur luar negara yang bergiat di Malaysia.

Walaupun pelacuran dianggap pekerjaan paling tua dalam sejarah manusia, ini tidak bermakna masyarakat harus bersikap sambil lewa dan tidak peduli langsung.

Laporan yang didedahkan dalam Utusan Malaysia mengenai arus kedatangan pelacur dari negara luar yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi bukan sahaja sangat mengecewakan, malah menandakan wujudnya sindrom tidak peduli di kalangan sebahagian besar masyarakat kita.

Kita pernah didedahkan bahawa jika dicampurkan jumlah pelacur tempatan dan pelacur luar, ia mencecah angka puluhan ribu. Pelacur luar yang dinyatakan datang dari 21 negara, seolah-olah Malaysia sudah menjadi destinasi dan hab pelacuran antarabangsa. Kenapa fenomena ini semakin berleluasa?

Setelah segala tindakan dilaksanakan oleh pihak berkuasa, sama ada dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman mahu pun dari Jabatan Agama Islam, nampaknya kegiatan maksiat yang menjijikkan ini bukan semakin mengurang malah semakin bertambah.

Harus diingat bahawa yang dilaporkan oleh pihak Bukit Aman mengenai angka tangkapan dan pendakwaan mereka yang terlibat itu hanya secebis sahaja daripada keseluruhan yang tidak dapat dikesan.

Sementara pihak berkuasa serius untuk membendung gejala ini, kita tahu ia sangat sukar untuk dibersihkan kerana adanya permintaan. Bermakna, isu yang lebih mendasar ialah pelacuran terus wujud kerana adanya satu pekerjaan yang beroperasi berdasarkan nafsu manusia yang tidak dapat dikawal.

Pasaran industri pelacuran adalah nafsu dan bahan dagangnya adalah tubuh manusia. Dengan yang demikian akan berpanjanganlah isu ini sehingga ke hari terakhir bumi ini wujud.

Bagaimanapun, kita tidak pula dilepaskan daripada tanggungjawab untuk berusaha sekeras mungkin agar gejala ini dibanteras.

Di samping adanya undang-undang untuk pihak berkuasa bertindak, kita juga sedar bahawa pegangan agama yang kukuh sahaja mampu membendung gejala ini daripada berleluasa.

Kita tidak mungkin akan bersetuju untuk mengambil langkah seperti negara-negara lain yang mewujudkan kawasan khas untuk membenarkan pelacuran beroperasi secara sah.

Alasan langkah ini dilakukan ialah agar ia tidak berleluasa di mana-mana dan akan lebih mudah dikawal. Namun ini juga bermakna kita seperti merestui pelacuran yang tidak boleh diterima sama sekali dalam Islam dan budaya kita.

Lantaran itu jalan yang perlu kita ambil ialah melakukan tindakan serampang banyak arah. Kita harus adakan langkah pendidikan yang sangat efektif baik melalui saluran formal mahupun tidak formal

Langkah ini ialah dengan menanamkan penghayatan tata cara hidup Islam yang mantap di kalangan masyarakat Islam di semua lapisan.

Sekaligus dengan itu kita mesti menggandakan kempen kesedaran akibat buruk melanggan pelacur daripada segi kesihatan, sosial, kestabilan keluarga, jenayah dan ekonomi negara.

Juga disarankan agar segala lorong dan kesempatan pihak yang cenderung untuk mengambil peluang menjalankan pelacuran secara bersindiket hendaklah segera ditutup seketat-ketatnya.

Mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan didapati terlibat dengan sindiket pelacuran, jika ada, tidak boleh dikompromi sama sekali.

Kakitangan agensi penguatkuasa mesti diambil tindakan tegas jika didapati turut terlibat mendapat keuntungan dengan cara melindungi dan menjadi dalang kepada sindiket pelacuran.

TERAS juga menyarankan pihak berkuasa dan masyarakat bermuafakat dalam membanteras gejala ini dengan mengawal segala kegiatan yang boleh membuka ruang untuk pihak tertentu terjebak dengan maksiat.

MOHD. AZMI ABDUL HAMID

Presiden TERAS - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...