Monday, October 5, 2009

'Awang Hitam' terjerat

KUALA LUMPUR 4 Okt. - 'Awang Hitam' atau lelaki dari benua Afrika yang sebelum ini sering menimbulkan masalah sosial di negara ini, kini bergiat dalam jenayah pecah masuk rumah pula.

Dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), mereka akan mengintip mana-mana rumah yang tidak berpenghuni sebelum melakukan jenayah tersebut.

Namun, kegiatan empat warga Afrika ini yang cuba menggunakan taktik itu untuk memecah masuk rumah penduduk di Taman Putra, Ampang di sini gagal apabila tindak tanduk mereka itu disedari penduduk.

Lebih malang lagi, salah seorang daripada suspek yang ditugaskan membuat intipan di rumah terbabit berjaya dicekup penduduk.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam tadi, empat warga Afrika itu yang menaiki MPV jenis Naza Citra memasuki kawasan perumahan tersebut dan berhenti di sebuah rumah di Jalan 2, di taman itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan (gambar) berkata, curiga dengan kehadiran suspek, beberapa penduduk cuba mendekati kenderaan suspek.

Katanya, apabila tiba dan membuka pintu tersebut terdapat tiga orang warga Afrika di dalam kenderaan itu bersama beberapa peralatan untuk memecahkan rumah.

"Salah seorang penduduk yang terkejut melihat parang di dalam kenderaan itu kemudian menutup semula kereta.

"Tiga suspek itu kemudian melarikan diri dengan meninggalkan seorang rakan mereka selain menggunting tali palang masuk taman berkenaan untuk keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Abdul Jalil, seorang lagi suspek berusia lingkungan 30-an yang ditinggalkan berjaya ditahan penduduk dan pengawal keselamatan yang bertugas di taman tersebut.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpulan ini menyasarkan rumah yang kosong dan salah seorang daripada mereka akan membuat pengintipan sebelum memecah masuk.

Katanya, pihaknya kini sedang memburu tiga lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 453 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memberitahu, kerjasama di antara penduduk, masyarakat dan polis dilihat dapat membantu mengurangkan kegiatan jenayah. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...