Thursday, October 1, 2009

Amah: Indonesia terus beku

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Indonesia akan terus membekukan bekalan pembantu rumah ke negara ini selagi Akta Kerja 1955 tidak dipinda. Sehubungan itu, kerajaan Malaysia diminta menyelesaikan segera pindaan tersebut bagi membolehkan tindakan pembekuan amah ke negara ini ditarik semula.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarda Ryananta berkata, pembekuan amah ke Malaysia sejak 25 Jun lalu adalah untuk menilai semula penempatan dan perlindungan amah Indonesia di negara ini berikutan aduan golongan itu didera.

''Sehingga hari ini kerajaan Indonesia belum mengeluarkan arahan baru untuk menarik semula pembekuan penghantaran amah ke sini (Malaysia).

''Indonesia hanya akan membenarkan penghantaran amah selepas akta tersebut selesai dipinda,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pembekuan pembekalan amah ke negara ini yang berlarutan sehingga hari ini.

Tindakan itu menimbulkan keresahan banyak pihak terutama agensi-agensi pekerja asing kedua-dua negara.

Pembekuan itu juga dikhuatiri boleh mengakibatkan jumlah amah yang berstatus pendatang tanpa izin (PATI) bekerja dengan majikan negara ini meningkat. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...