Saturday, October 3, 2009

8 warga asing tergamam

PETALING JAYA: Lapan warga asing dari Bangladesh dan Indonesia kebanyakannya sedang nyenyak tidur diberkas dalam satu operasi khas, di apartmen Flora Damansara di sini, awal pagi semalam.

Kebanyakan mereka hanya mampu tergamam tanpa dapat berbuat apa-apa berikutan seluruh kawasan kediaman itu dikepung Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor kira-kira jam 3 pagi.

Penolong Penguasa Imigresen negeri, Johari Supardi, berkata operasi disertai 25 anggota itu dilakukan hasil maklumat awam yang diterima berhubung kehadiran pendatang asing tanpa izin di lokasi terbabit.

“Sejurus mengepung laluan turun naik apartmen berkenaan, anggota kami mula memeriksa beberapa unit rumah yang dipercayai menjadi tempat perlindungan warga asing terbabit,” katanya.

Harian Metro difahamkan, apartmen Flora Damansara turut dihuni warga asing dari beberapa negara terutama Indonesia, Thailand, Bangladesh dan Afrika.

Sebaik mengenal pasti unit didiami warga asing terbabit, pegawai bertugas mengetuk pintu dan memperkenalkan diri kira-kira 10 minit kemudian.

“Sejumlah 15 warga asing diperiksa dari tiga unit kediaman dan lapan daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun.

“Ada antara mereka dipercayai sudah bekerja di negara ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam pengambilan warga asing ini,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...