Thursday, October 29, 2009

42 pelacur warga asing diberkas

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Seramai 42 wanita warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Puteri 1/4, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini malam tadi.

Mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 11.50 malam itu terdiri daripada 29 warga China, masing-masing enam warga Thailand dan Vietnam serta seorang warga Myanmar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan berkata, turut ditahan seorang lelaki yang dipercayai pengurus pusat hiburan terbabit.

Katanya, kesemua wanita itu berjaya ditahan meskipun cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam premis terbabit.

"Suspek lelaki ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah.

"Wanita-wanita itu pula kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara kesalahan itu ialah tidak memiliki dokumen perjalanan sah, pas lawatan tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.

Serbuan dilakukan oleh Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Pihak MPSJ turut menyita pusat hiburan itu sehingga siasatan selesai," kata beliau. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...