Tuesday, October 6, 2009

36,858 wanita asing dipercayai pelacur ditahan sejak 2005

KUALA LUMPUR: Seramai 36,858 wanita rakyat asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam operasi di seluruh negara sejak tahun 2005.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata bagi Januari hingga 30 September tahun ini, seramai 7,810 wanita dari 21 negara ditahan kerana dipercayai terbabit dengan pelacuran.

"Polis memandang serius kegiatan tidak bermoral itu dan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membendungnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai kegiatan pelacuran membabitkan wanita Uzbekistan di negara ini.

Mohd Bakri berkata, sejak 2005, seramai 211 wanita Uzbekistan ditahan dan untuk tahun ini iaitu dari Januari hingga 30 September, seramai 56 wanita negara itu ditahan.

"Kebanyakan wanita Uzbekistan ini ditahan di hotel di sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, seramai 191 orang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan menganjur pelacuran dan 265 orang lagi dikenakan tindakan undang-undang pencegahan.

Mohd Bakri berkata, dalam usaha membendung kegiatan itu, PDRM telah berbincang dengan Jabatan Imigresen dan memintanya memperketatkan kawalan di pintu masuk ke negara ini dengan memantau kemasukan wanita asing serta pastikan hanya pelancong, pelajar dan pekerja yang sah dibenar masuk. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...