Wednesday, October 28, 2009

29 pendatang asing Indonesia ditahan


Sebahagian daripada warga Indonesia yang ditahan kerana cuba masuk secara haram di Tawau, semalam.

TAWAU 27 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dalam satu operasi di kawasan Sungai Tongkang di sini semalam.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, mereka yang ditahan kira-kira pukul 11.50 pagi itu berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an.

"Daripada jumlah itu, 27 pendatang asing tersebut merupakan lelaki manakala selebihnya wanita. Mereka diperiksa dalam sebuah feri dari Nunukan, Indonesia ke Tawau dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menunjukkan surat pelepasan cuti kononnya daripada majikan mereka di sini tetapi setelah diperiksa, ternyata ia adalah palsu.

"Surat itu sebenarnya dikeluarkan di Nunukan dan dibeli oleh PATI berkenaan dengan harga 450,000 Rupiah Indonesia (RM150)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah itu adalah modus operandi PATI dari negara tersebut untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi membolehkan mereka membolosi negara ini.

Menurutnya, semua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh didenda RM10,000, lima tahun penjara dan disebat. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...