Sunday, October 11, 2009

21 PATI diberkas

JOHOR BAHRU 10 Okt. - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 2 Tampoi memberkas seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong di kawasan perairan berhampiran Pulau Che Kamat, Sungai Rengit di Kota Tinggi awal pagi ini.

Timbalan Komander PGM Wilayah 2, Supritendan N. Kalai Chelven berkata, pihaknya menahan bot pancung dinaiki PATI warga Indonesia berusia antara 20 hingga 32 tahun.

Bot itu, katanya, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukannya yang menjalankan operasi Ops Octopus kira-kira pukul 4.30 pagi hasil maklumat awam.

Beliau berkata, ketika dihampiri, bot yang membawa 20 pendatang lelaki dan seorang wanita itu terus memecut melarikan diri menyebabkan pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menahannya.

"Sewaktu dikejar, bot pancung itu juga melanggar bot laju PGM sebanyak dua kali sehingga menyebabkan berlaku kerosakan pada bot dan enjin bot pancung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kalai Chelven berkata, bot pancung berkenaan akhirnya mendarat di Pulau Che Kamat bersama kesemua PATI dan tekong cuba melarikan diri dengan terjun ke laut.

"Namun tekong itu berjaya ditahan oleh pasukan kita," katanya sambil memberitahu pihaknya turut merampas bot pancung dan satu enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seperti rompakan di laut, penyeludupan dan kesalahan maritim lain diminta melaporkan perkara itu kepada PGM Wilayah 2 di talian 07-2372222 atau 07-2376122. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...