Saturday, September 19, 2009

Warga Indonesia balik kampung


SEBAHAGIAN warga Indonesia beratur menunggu giliran menaiki Express Indomal untuk balik berhari raya ke kampung halaman masing-masing di Jeti Pelabuhan Melaka, semalam.

MELAKA 18 Sept. - Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi golongan perantau apabila tiba musim perayaan, selain dapat pulang ke kampung halaman mereka untuk berhari raya bersama keluarga tercinta.

Bagi mereka, menyambut 1 Syawal di tempat sendiri tentu lebih bermakna selepas meninggalkan keluarga di kampung untuk sekian lama bagi mencari rezeki di perantauan.

Sesungguhnya berhari raya di kampung halaman sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri yang jauh berbeza jika dibandingkan dengan sambutan di bandar raya.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jeti Shahbandar, Banda Hilir di sini hari ini mendapati suasana itu tidak terkecuali bagi warganegara Indonesia yang bekerja di negara ini khususnya di Melaka.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, jeti ini menjadi tumpuan rakyat Indonesia untuk pulang ke negara mereka memandangkan kedudukannya paling dekat dengan sempadan negara berkenaan.

Salah seorang daripada mereka, Shahrul Awaludin, 30, berkata, dia mendapat cuti selama seminggu daripada majikannya untuk pulang berhari raya di kampungnya di Bengkalis.

"Memang setiap tahun, saya pasti akan pulang berhari raya di kampung halaman berkumpul bersama seluruh ahli keluarga," katanya yang bekerja sebagai pekerja kontrak bangunan di Batu Pahat, Johor.

Mokhtar Surip, 29, dari Bengkalis pula memberitahu, dia bernasib baik kerana kebetulan mendapat cuti selama 45 hari pada Aidilfitri tahun ini.

"Sebenarnya, kalau tidak dapat cuti lama pun saya mesti pulang kerana inilah masanya untuk kita melawat dan bermaaf-maafan dengan seluruh ahli keluarga.

"Tak kisahlah, terpaksa belanja tambang feri lebih sedikit, asalkan tradisi pulang ke kampung dapat diteruskan," katanya.

Walaupun telah bekerja lebih 20 tahun di Johor Bahru, ia bukan bererti jiwa Nasir Hassan sudah sepenuhnya berada di Malaysia.

Bapa kepada dua anak ini berkata, walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai budaya yang hampir sama, dia tetap merindui kampung halamannya di Bengkalis.

"Selain anak dan isteri yang berada di sana, saya rasa bersalah jika tidak dapat pulang berhari raya di kampung," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi pekerja ladang, Mohne Kaderi, 30, yang menyifatkan Aidilfitri sebagai waktu terbaik melawat saudara mara dan sahabat handai untuk memohon kemaafan. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...