Sunday, September 13, 2009

Warga Bangladesh maut dihempap karung beras

PENDANG 12 Sept. - Malang tidak berbau. Seorang lelaki warga Bangladesh yang sedang menampal sebuah karung beras bocor, maut setelah tiba-tiba dihempap karung berkenaan.

Karung besar mengandungi beras seberat satu tan tersebut menghempap mangsa yang dikenali sebagai Nuru Nabi, 33, bersama sebuah lagi karung mengakibatkan dia cedera parah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kilang beras di Bukit Raya ketika mangsa sedang menampal sebuah karung beras yang bocor.

Bagaimanapun ketika dia memanjat, para menyimpan karung itu runtuh lalu menghempapnya.

Rakan sekerjanya, Mohd. Fadzli Amir Ramli, 31, memberitahu, dia bersama mangsa sedang memunggah karung-karung beras dari sebuah lori dengan menggunakan trak angkut susun.

"Ketika saya mengambil karung beras dari sebuah lori yang terletak kira-kira 25 meter dari tempat kejadian, tiba-tiba saya terdengar ada benda terjatuh.

"Mula-mula saya ingat, hanya karung beras itu terjatuh tetapi terkejut rupanya ia menimpa mangsa," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...