Thursday, September 17, 2009

Warga asing dipantau sepanjang musim perayaan

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Ingatan kepada warga asing yang tidak pulang ke negara asal pada musim perayaan ini; polis akan mengawasi tingkah laku mereka.

Polis Kuala Lumpur menegaskan bahawa pasukan khas akan dihantar ke lokasi-lokasi yang sering menjadi tempat pekerja asing berkumpul.

Lokasi terbabit termasuk di sekitar Hentian Puduraya, Pasar Seni, Sogo dan Masjid Jamek.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, pasukan yang terlibat akan memantau pergerakan pendatang asing terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah.

"Jika mereka tidak mendatangkan masalah kepada negara dan tiada niat untuk mengganggu gugat keamanan, tidak ada masalah. Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan musim perayaan ini untuk terlibat dalam jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bungkusan kuih raya dan sumbangan wang tunai kepada anak-anak yatim, balu anggota polis, pesara polis dan bekas polis tambahan yang pernah berkhidmat dalam Kontinjen Kuala Lumpur.

Muhammad Sabtu mengulas persediaan kontinjen itu bagi menghadapi segala kemungkinan warga kota meninggal ibu kota menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Sabtu berkata, sejak operasi pemantauan di lokasi panas dilancarkan, sebanyak 2.5 peratus kes jenayah menurun di 11 kawasan panas terbabit. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...