Wednesday, September 2, 2009

Utara: Pagar bolos

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my


PAGAR keselamatan di sempadan dipotong atau diturunkan untuk memudahkan keluar, masuk secara haram masuk ke negara ini.

Penyeludup, pendatang tanpa izin mudah keluar, masuk sempadan Malaysia-Thailand

BUKIT KAYU HITAM: Tahap keselamatan kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sini, masih longgar apabila pagar keselamatan di situ mudah dibolosi kerana dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, dipercayai penyeludup dan pendatang tanpa izin.

Masalah itu dipercayai bukan baru, malah dikesan sejak beberapa tahun lalu apabila pagar keselamatan di sempadan itu dipotong atau diturunkan untuk memudahkan anasir asing menyeludup masuk ke negara ini.

Tinjauan mendapati banyak lokasi di sepanjang pagar itu bocor atau ditanggalkan, sekali gus mendedahkan negara ini daripada pelbagai ancaman negatif termasuk penyeludupan senjata api, barangan larangan dan pendatang tanpa izin.

Penduduk berhampiran, terutama di Taman Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di sini mengakui sehingga kini belum ada tindakan diambil pihak berkuasa untuk menggantikan pagar yang rosak.

Walaupun pihak berkuasa, terutama anggota tentera ada meronda di kawasan itu, penyeludup terbabit licik dan mereka menunggu masa yang sesuai untuk menceroboh masuk.

PENDATANG tanpa izin menunggu masa sesuai untuk menceroboh masuk.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan penyeludup terutama tekong darat untuk membawa masuk pendatang tanpa izin sebelum dihantar ke pelbagai destinasi di seluruh negara ini ialah kawasan ladang kelapa sawit berhampiran padang golf di belakang Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam.

Keadaan ini menyebabkan penduduk terutama suri rumah bimbang berikutan pendatang tanpa izin yang melalui kawasan itu berani mengetuk pintu rumah mereka untuk meminta pelbagai pertolongan termasuk mengecas bateri telefon bimbit.

Mungkin kini belum berlaku kejadian tidak diingini seperti rompakan, pembunuhan, rogol dan cabul, namun pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu supaya kawasan perumahan itu tidak menjadi laluan penyeludup dan pendatang tanpa izin memasuki negara ini.

Suri rumah, Siti Rogayah Kasa, 45, berkata beliau selalu ternampak orang asing dipercayai pendatang tanpa izin melalui kawasan perumahan itu secara berkumpulan.

"Walaupun ada pengawasan polis yang selalu meronda tetapi mereka tetap memasuki kawasan ini. Malah, ada antara mereka tanpa segan silu mengetuk pintu rumah penduduk atas pelbagai alasan yang ada kalanya mencurigakan.

"Saya akui setakat ini tidak ada kejadian buruk berlaku tetapi kita perlu sentiasa berwaspada. Saya bimbang jika tidak dibendung ia boleh membahayakan penduduk kampung terutama wanita," katanya.

Umi Salwani Jamudin, 30, berkata pendatang tanpa izin sering menggunakan kawasan itu sebagai laluan untuk memasuki negara ini pada petang dan malam.

"Walaupun tidak semua berani memasuki kawasan perumahan, kita perlu sentiasa berwaspada supaya tidak berlaku sebarang kejadian buruk," katanya.

Beliau berkata, pendatang tanpa izin terbabit kerap mengambil kesempatan dan berjalan dalam kumpulan pekerja ladang yang pulang ke penempatan selepas waktu kerja untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...