Wednesday, September 2, 2009

Utara: Felda dibanjiri warga asing

Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my

Peneroka tidak berminat ambil pekerja tempatan

KUALA NERANG: Kebanjiran warga asing bekerja sebagai penoreh getah di Felda Lubuk Merbau, dekat sini menutup periuk nasi penduduk tempatan apabila kebanyakan mereka diberhentikan kerja.

Kemasukan warga asing itu disebabkan peneroka Felda berkenaan lebih berminat menggunakan tenaga mereka, berbanding penduduk tempatan yang didakwa sering menimbulkan masalah, termasuk ada yang mencuri getah beku.

Peneroka terbabit dikatakan mula mengambil warga asing sejak lima tahun lalu, tetapi jumlahnya meningkat ketara kebelakangan ini.

Antara pendatang yang diambil bekerja dengan mereka termasuk dari Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Seorang peneroka yang hanya mahu dikenali sebagai Che Mat, 60, berkata, seorang penoreh warga asing mampu menoreh hingga seluas 2.4 hektar sehari, jauh lebih luas daripada dilakukan penoreh tempatan.

"Kami kerap berdepan masalah kecurian getah beku oleh penoreh tempatan apabila mereka menjualnya tanpa pengetahuan kami.

"Penoreh tempatan juga kerap bercuti, termasuk jika ada kenduri atau pergi ke rumah sanak saudara menyebabkan kami lebih gemar menggaji pekerja asing yang lebih rajin.

"Jika penduduk tempatan rajin bekerja, tiada sebab kami menyisihkan mereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Che Mat berkata, penoreh warga asing terbabit sanggup pekerja tanpa mengira masa sama ada pagi atau petang.

Kebanjiran warga asing itu dikatakan menjadi punca rakyat tempatan menganggur dan mereka terpaksa mencari rezeki di tempat lain, termasuk bekerja di kilang dan selebihnya di kampung dengan pendapatan tidak seberapa.

Difahamkan sebahagian besar pekerja asing itu dipercayai memasuki negara ini dengan hanya menggunakan pas sempadan, terutama dari Thailand yang bertujuan untuk lawatan sosial, sekali gus melanggar peraturan.

Tinjauan Berita Harian di tanah rancangan itu mendapati ramai pekerja asing tinggal dalam pondok berdinding dan berbumbungkan plastik dalam kebun getah itu dan hanya keluar untuk membeli barangan keperluan pada hari tertentu saja.

Penduduk Kampung Berjaya yang terletak bersebelahan Felda Lubok Merbau, Mat Rejab Ibrahim, 47, berkata, pendapatan penduduk di kampung itu terjejas teruk apabila diberhentikan kerja di tanah rancangan itu beberapa tahun lalu.

"Peneroka tidak lagi berminat mengambil pekerja tempatan dengan pelbagai alasan termasuk tidak bertanggung jawab dan jujur, malah penoreh tempatan dikatakan turut mencuri getah," katanya.

Abdullah Yasin, 60, berkata suatu ketika dulu ramai penduduk kampung itu bekerja sebagai penoreh di tanah rancangan berkenaan tetapi diberhentikan apabila warga asing mula bekerja di situ.

Rahmah Ahmad, 44, mendakwa pernah meminta kerja mengambil upah sebagai penoreh getah di Felda itu tetapi peneroka di situ tidak mahu mengambil pekerja tempatan.

"Saya bernasib baik kerana mendapat kerja di sebuah kilang berhampiran kampung ini. Ramai penduduk kampung terpaksa mencari sumber rezeki lain apabila tenaga mereka tidak diperlukan peneroka di situ," katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Lubok Merbau, Abdul Sukor Jalaluddin ketika dihubungi berkata, terpulang kepada peneroka untuk mengambil pekerja asing asalkan mereka mematuhi peraturan Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan peneroka terbabit mengutamakan penduduk tempatan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...