Tuesday, September 15, 2009

Tiga sekeluarga, ibu tunggal minta bicara kes dagang manusia

KOTA BAHARU: Tiga sekeluarga dan seorang ibu tunggal hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan terhadap dua pertuduhan memperdagangkan 12 warga Myanmar pada 9 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua tertuduh, Sahaidi Salleh, 46; Siti Rashidah Razali, 25, seorang ibu tunggal, Mohammad Hafizan Sahaidi, 19, dan Mohd Hazwan Sahaidi, 21 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memperdagangkan tiga kanak-kanak warga Myanmar iaitu Rahina, 12, Suabidah, sembilan, dan Solihah, dua tahun, bagi maksud mengeksploitasi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Kampung Kubang Panjang, Lemal, Pasir Mas, kira-kira jam 7.20 malam.

Kesemua tertuduh meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara minimum tiga tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh didenda.

Di hadapan Hakim Rofiah Mohammad pula, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan untuk pertuduhan kedua, iaitu memperdagangkan sembilan warga Myanmar berumur antara 20 sehingga 41 tahun bagi maksud mengeksploitasi, pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta yang sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan boleh juga didenda.

Pada prosiding hari ini, Sahaidi, yang merupakan tertuduh keempat, juga menukar pengakuan dan meminta untuk dibicarakan terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan. Sebelum ini beliau mengaku bersalah atas dua tuduhan ketika sebutan kes itu pada 20 Ogos lalu.

Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Muhammad Hasif Hassan sementara pendakwaan pula dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman.

Terdahulu, Nooriah memohon satu tarikh baru untuk sebutan semula kes bagi mengambil keterangan orang yang diperdagangkan. Menurutnya, pihak pendakwaan dan pembelaan sepakat supaya keterangan mangsa dalam kes ini direkodkan di hadapan Majistret Pasir Mas pada 30 September dan 1 Oktober ini.

Hakim Wan Fadhilah dan Rofiah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.- Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...