Sunday, September 6, 2009

Tekong darat dicekup


ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Imigresen (kanan) menangkap seorang lelaki yang dipercayai tekong darat dalam operasi di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 5 Sept. - Kerana berputus asa dengan pekerjaan yang dilakukan sebelum ini, Lan (nama samaran) sanggup mengambil risiko menjadi seorang tekong darat kerana terpesona dengan upah yang lumayan.

Namun, seperti perumpamaan sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga apabila Lan, 29, yang dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen, baru-baru ini mengaku amat menyesal atas tindakan salah di sisi undang-undang yang diambilnya itu semata-mata kerana upah lumayan.

Menceritakan pengalamannya, Lan memberitahu, dia menjalankan tugasan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan ke lokasi untuk diseludup keluar melalui perairan negeri Johor.

"Sebelum ini dah macam-macam kerja saya buat, tapi tak jalan. Itu sebab saya ambil keputusan untuk jadi tekong darat.

"Lagipun, upah yang diterima juga sangat lumayan dan jauh beza dengan upah yang saya terima ketika kerja lain dulu," katanya yang berasal dari Mersing.

Lan baru bekerja sebagai tekong darat kira-kira enam bulan lalu mengaku menerima gaji tetap sebanyak RM1,500 sebulan.

Katanya, bayaran berkenaan tidak termasuk upah membawa PATI ke lokasi yang diarahkan untuk diseludup keluar menaiki bot di pangkalan haram sama ada di Sungai Tiram atau Sungai Rengit.

Bagaimanapun, dia enggan memberitahu jumlah sebenar upah yang diperolehnya.

"Saya hanya ditugaskan untuk membawa PATI ke rumah transit ini dan pangkalan haram oleh seseorang yang saya tidak kenal. Apa yang penting, saya dapat wang untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.

Turut ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Johor di sebuah rumah transit di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram hari ini ialah 10 lagi tekong darat dan 39 PATI.

Ditanya adakah dia tidak menyesal kerana melakukan pekerjaan yang melanggar undang-undang, Lan memberitahu, selepas ditahan barulah dia rasa menyesal.

Jika dulu, dia berbangga dengan kerjanya itu namun kini, hanya penyesalan yang bermukim di hatinya.

"Bila ditangkap, barulah terbayang wajah keluarga. Apa nasib mereka jika saya ke penjara," katanya sebak. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...