Thursday, September 3, 2009

Syor Suhakam kepada kerajaan

KUALA LUMPUR 2 Sept. – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mencadangkan kepada kerajaan agar mengguna pakai pelan tindakan hak asasi manusia di negara ini.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr. Chiam Heng Keng berkata, pelan tindakan tersebut akan dibincangkan pada persidangan badan berkenaan sempena Hari Hak Asasi Manusia Malaysia pada 9 September ini.

‘‘Ia adalah antara perkara yang akan dibentangkan pada persidangan tersebut dalam menilai semula sejauh mana hak kebebasan diamalkan di negara ini.

“Suhakam akan mengkaji semula pencapaian kami sejak 10 tahun lepas dalam memperjuangkan prinsip hak kebebasan manusia di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena mengumumkan tema persidangan iaitu Hak Asasi Manusia di Malaysia: Sejak 10 tahun lepas, di sini hari ini.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman akan menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut.

Menurutnya, persidangan yang bakal dihadiri oleh kira-kira 300 peserta tersebut akan mengenal pasti cabaran dan masalah yang menghalang pencapaian hak asasi manusia melalui pembentangan dan perbincangan.

Sebelum ini, katanya lagi, Malaysia telah mengumumkan amalan hak asasi dan tindakan yang telah dan sedang diambil kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Sementara itu, Heng Keng menjelaskan, para peserta akan dapat berkongsi maklumat tentang pencapaian Suhakam dan mengetahui sama ada terdapat pencabulan hak asasi manusia dalam negara.

Ujarnya, persidangan itu akan menjadi medan perbincangan tentang bagaimana amalan hak asasi manusia di negara ini dapat diperbaiki dan dipertingkatkan.

Beliau memberitahu, mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai persidangan itu dengan melayari laman web Suhakam www.Suhakam.org.my. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...