Saturday, September 5, 2009

RM800 gaji minimum pembantu rumah asing terlalu tinggi

KUALA LUMPUR 5 Sept — Cadangan gaji minimum RM800 untuk pembantu rumah warga asing adalah terlalu tinggi dan tidak mampu dibayar oleh ramai majikan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata jika gaji minimum ini dikuatkuasakan, implikasinya ramai wanita tempatan yang berkeluarga akan menarik diri daripada pasaran pekerjaan untuk menguruskan rumah tangga masing-masing.

“Penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan akan terus menurun daripada tahap 45.7 peratus pada masa ini dan ini akan menyebabkan penurunan kadar pertumbuhan ekonomi negara kerana tenaga wanita adalah antara aset pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrizat mengulas laporan akhbar Indonesia semalam bahawa negara itu akan meminta gaji minimum sebanyak RM800 untuk pembantu rumah warganya pada mesyuarat keempat Jawatankuasa Kerja bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia yang diadakan di Jakarta, Indonesia hari ini.

Beliau berkata isu gaji minimum pembantu rumah warga asing perlu dikaji dengan teliti sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh Kementerian Sumber Manusia kerana Akta Kerja 1955 tidak menetapkan gaji minimum untuk mana-mana sektor pekerjaan di negara ini.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep ekonomi terbuka, gaji bagi sesuatu sektor ditentukan oleh daya pasaran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh mengadakan gaji minimum untuk sesuatu sektor pekerjaan sahaja seperti sektor pembantu rumah kerana ia akan menimbulkan implikasi kepada sektor pekerjaan yang lain.

Mengenai persetujuan Malaysia dan Indonesia untuk membenarkan pembantu rumah Indonesia diberi cuti sehari dalam seminggu yang dicapai pada mesyuarat jawatankuasa itu pada 20 Ogos lepas, Shahrizat berkata ia merupakan satu yang munasabah dan mekanismanya perlu diperhalusi.

Penguatkuasaan cuti tersebut dilaporkan akan hanya berkuatkuasa setelah Akta Kerja 1955 dipinda.- Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...