Monday, September 14, 2009

RM600 memadai

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Gaji RM600 sebulan yang dibayar majikan negara ini kepada pembantu rumah warga Indonesia adalah kadar paling setimpal dan mengikut kemampuan rakyat Malaysia.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata pemberian gaji itu tidak boleh dibandingkan dengan negara lain seperti Taiwan dan Timur Tengah berikutan perbezaan ketara daripada segi pertumbuhan ekonomi negara dan pendapatan per kapita penduduk.

“Jika di Taiwan, pembantu rumah dibayar gaji sekitar RM1,300 sebulan dan di Timur Tengah, sekitar RM800 sebulan, tetapi di negara ini, gaji sebanyak RM600 sebulan adalah amat berbaloi sekali kepada majikan dan pembantu rumah.

“Di Taiwan dan Timur Tengah, pendapatan majikan di sana berlipat kali ganda jika dibanding majikan di negara ini dan berikutan itu perbandingan dengan negara luar dalam soal pemberian gaji kepada pembantu rumah ini kurang sesuai dilakukan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Raja Zulkepley berkata, permintaan kerajaan Indonesia supaya pembantu rumah mereka diberikan gaji sebanyak RM800 sebulan terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan majikan di negara ini.

“Apa yang kita mahu supaya gaji yang diberikan setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan pembantu rumah.

“Gaji RM600 sebulan yang diberikan kepada mereka adalah pada kadar kemampuan majikan di Malaysia dan sesuai dengan perkhidmatan yang diberikan pembantu rumah dari Indonesia berdasarkan tahap pendidikan dan latihan yang diterima sebelum berkhidmat di sini,” katanya.

Beliau berkata, dalam soal gaji bulanan pembantu rumah ini, majikan diharap memahami dengan jelas bahawa jika mereka membayar gaji yang murah, mereka tidak boleh mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada pembantu rumah.

“Cara yang paling baik ialah mendapatkan pembantu rumah melalui agensi yang berdaftar dengan Papa kerana kita akan pastikan gaji yang perlu dibayar adalah standard dan di samping itu, apa yang paling penting, mereka memasuki negara ini secara sah.

“Banyak masalah timbul apabila pembantu rumah diambil daripada sindiket dan mereka memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...