Thursday, September 10, 2009

Pusat latihan domestik atasi masalah pembantu rumah

KESUKARAN mendapat pembantu rumah amat dirasai oleh wanita-wanita yang bekerja. Pelbagai peristiwa berkaitan pembantu rumah sering di siarkan oleh media massa.

Kes pembantu rumah melarikan diri bukan sahaja menyukarkan majikan malah mereka juga terpaksa menanggung kerugian. Untuk mendapat seorang pembantu rumah, majikan terpaksa mengeluarkan banyak wang.

Berdasarkan kepada suasana begini maka kerajaan Malaysia patut menubuhkan pusat latihan pembantu rumah secara profesional.

Pusat latihan ini perlu diiktiraf sebagai satu institusi yang sama tarafnya dengan latihan vokasional dan mempunyai sijil kelayakan.

Pembantu rumah merupakan satu jawatan yang terpenting mengikut perspektif Islam. Individu-individu yang terlibat dalam urusan pembantu rumah boleh diibaratkan sebagai ibu kedua kepada anak-anak dan orang yang bertanggung jawab dalam kebersihan dan pemakanan ahli-ahli keluarga.

Dalam konteks Malaysia masa kini, ramai gadis yang tidak mempunyai kebolehan dalam akademik dan pekerjaan kemahiran sepatutnya digalakkan bekerja sebagai pembantu rumah.

Bagi menggalakkan mereka menceburi bidang ini maka pusat latihan domestik perlu ditubuhkan oleh kerajaan.

Ini juga merupakan satu alternatif kerajaan bagi menyediakan peluang pekerjaan profesional dalam urusan rumah tangga kepada gadis-gadis Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Rancangan ini merupakan salah satu aktiviti yang boleh mengurangkan jumlah pengangguran dan tahap kemiskinan dalam negara.

Gadis-gadis yang mendapat latihan daripada pusat ini akan diberi jaminan keselamatan diri dan keistimewaan seperti mana pekerja domestik yang bekerja di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.

Jaminan dan keistimewaan seperti ini bukan sahaja boleh menggalakkan gadis-gadis Malaysia berminat untuk menceburi latihan pembantu rumah malah ia juga boleh menjalinkan hubungan baik di antara mereka dan majikan.

Kedudukan mereka sebagai pembantu rumah akan dihormati kerana disiplin dan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh majikan dan pembantu rumah adalah berdasarkan kepada prosedur yang digariskan oleh kerajaan.

Gaji atau upah kepada pembantu rumah adalah berdasarkan kepada bentuk atau jenis perkhidmatan yang diperlukan oleh majikan. Jika tugas dan tanggung jawab pembantu rumah itu berat maka gaji dan upahannya mestilah berbeza dengan gaji pembantu rumah yang mempunyai tugas yang ringan.

Pusat latihan domestik perlu mengeluarkan sijil kepada pembantu rumah berdasarkan kepada kebolehan dan kemampuan mereka mengendalikan urusan rumah tangga. Oleh itu gaji dan upahan mereka adalah berlandaskan kepada sijil yang diterima oleh mereka.

Gadis-gadis beragama Islam yang menghadiri pusat latihan domestik perlu diajar selok-belok kebersihan mengikut ajaran Islam serta asas-asas agama Islam supaya mereka mahir dalam pelbagai bidang berkaitan dengan urusan rumah tangga.

Majikan berpendapatan tinggi sanggup membayar upah yang tinggi kepada pembantu rumah jika ia dapat mengendalikan pelbagai tugas termasuk mendidik anak-anak membaca al-Quran dan sembahyang.

Berdasarkan kepada suasana ramai wanita berkerjaya memerlukan pembantu rumah maka amat perlu bagi kerajaan mendirikan pusat latihan domestik yang bertaraf profesional dalam negara.

Ini juga adalah satu usaha untuk menggalakkan anak-anak gadis supaya mencari pekerjaan yang mulia daripada menjadi penganggur dalam negara yang kaya.

Ramai gadis Malaysia yang tercicir dalam bidang akademik lantaran kemiskinan akan mendapat peluang pekerjaan yang bertaraf profesional dalam domestik jika pusat latihan ini ditubuhkan.

Masyarakat Malaysia masa kini perlu disemat dengan pemikiran yang berlandaskan kepada ajaran Islam di mana setiap pekerjaan yang dilakukan oleh mereka adalah amanah dan ibadah.

Pekerjaan sebagai pembantu rumah juga adalah ibadah dan amanah serta punca rezeki yang halal dan diberkati oleh Allah.

Pihak majikan pula akan merasai bahawa pembantu rumah itu adalah sebahagian daripada ahli keluarganya yang perlu disayangi dan kasihi.

Berdasarkan kepada pemikiran begini maka majikan dan pembantu rumah saling menghormati dan mengasihi sesama mereka seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan kamu memanggil hamba dirumah mu, abdi (hamba ku), panggillah ia pemuda/pemudi ku”. Inilah konsep kehidupan umat Islam iaitu saling hormat menghormati demi ibadah kepada Allah.

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)" - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...