Tuesday, September 15, 2009

Polis siasat dakwaan bantu PATI dapat MyKad

KOTA KINABALU 14 Sept. - Polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan kononnya terdapat pihak tertentu di negeri ini membantu pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapatkan MyKad.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, polis menganggap dakwaan itu amat serius dan akan melakukan siasatan secara menyeluruh.

"Kami akan meneliti laporan tersebut dan jika ianya benar berlaku, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

"Bagaimanapun, pada masa ini kami sedang menjalankan penyiasatan secara terperinci," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kuih raya kepada semua ketua polis daerah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Kong Hong Ming baru-baru ini mengenai wujudnya usaha mendaftarkan PATI di Kampung Kalabakan Tengah, Tawau bagi mendapatkan MyKad.

Hong Ming dalam kenyataan itu mendakwa, kira-kira 200 PATI dibawa ke kampung terbabit oleh kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftar bagi mendapatkan MyKad.

Menurut Noor Rashid, kes ini disiasat mengikut Peraturan 25 (1) (e), Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

"Pada masa ini, belum ada sebarang tangkapan dan kes ini masih disiasat sama ada ia benar atau sebaliknya kerana ianya hanya dakwaan sahaja.

"Kami juga meminta kerjasama semua pihak supaya memandang serius perkara tersebut dan segera membuat laporan jika berlaku pemalsuan MyKad," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...