Tuesday, September 8, 2009

Penghantaran wang pekerja migran semakin merosot

BANGKOK: Filipina, Indonesia dan Vietnam dijangka menerima kesan kemerosotan penghantaran pulang wang oleh pekerja mereka di seberang laut apabila penghantaran pulang wang turun antara 5.0 dan 8.0 peratus tahun ini berikutan kemelesetan global.

"Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2009", satu laporan perdana Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) berkata pada 2008, penghantaran wang meningkat 8.8 peratus kepada AS$305 bilion di seluruh dunia tetapi menunjukkan tanda kelembapan pada separuh kedua tahun lalu.

"Kejatuhan mendadak harga minyak, pengurangan aktiviti pembinaan dan pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan IT di Timur Tengah akan memberikan kesan pada penghantaran pulang wang," kata Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan Makroekonomi Asia dan Pasifik Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Dr Nagesh Kumar pada taklimat media di sini.

India adalah penerima penghantaran wang terbesar pekerja migran, berjumlah AS$45 bilion pada 2008 atau 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) diikuti China (AS$34.5 bilion), Mexico (AS$26.2 bilion, Filipina (AS$18.3 bilion) Indonesia (AS$6.5 bilion) dan Vietnam (AS$$5.5 bilion).

Unctad berkata ekonomi dunia sedang mengalami penguncupan pertamanya sejak Perang Dunia Kedua malah ekonomi yang dijangka berkembang pada tahun ini, seperti China dan India, mengalami kelembapan yang signifikan berbanding pertumbuhan pantas yang dialami pada tahun sebelum itu.

Setiausaha Agungnya, Supachai Panitchpakdi, berkata KDNK global dijangka jatuh lebih 2.5 peratus pada tahun ini dan dijangka bertukar positif pada 2010 tetapi tidak mungkin melebih 1.6 peratus. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...