Friday, September 4, 2009

Pendatang asing sembunyi dalam tangki air

KUALA TERENGGANU 3 Sept. - Gara-gara ingin mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa, dua pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak menyembunyikan diri di dalam sebuah tangki air di atas sebuah bangunan di Ladang di sini.

Bagaimanapun, taktik dua lelaki warga Filipina itu tidak berhasil apabila mereka berjaya dikesan oleh pasukan penguat kuasa.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Terengganu, Asisten Supritendan Mohd. Faudzi Muhamad berkata, kedua-dua mereka adalah antara 26 PATI yang ditahan dalam 'Ops Nyah Bersepadu 2'.

Operasi yang disertai sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu diadakan di Projek Perumahan Rakyat Kampung Ladang di sini.

Katanya, turut menyertai operasi ini ialah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Seramai 10 orang PATI yang berada di tingkat atas bangunan projek perumahan itu cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran anggota kami.

"Dua daripada mereka cuba menyembunyikan diri dalam tangki air tetapi kami berjaya menghidu taktik itu dan menangkapnya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 108 orang buruh yang bekerja di tapak pembinaan tersebut telah diperiksa dalam operasi itu.

Tambahnya, daripada jumlah tersebut, 22 orang adalah rakyat tempatan, enam penduduk tetap, Indonesia (35), Bangladesh (31), Myanmar (7), Vietnam (4), Filipina (2) dan Thailand (1). - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...