Friday, September 18, 2009

Pelajar asing cagar pasport pinjam ah long

PUTRAJAYA 17 Sept. - Kegiatan ah long dikesan semakin berleluasa di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dengan menjadikan pelajar luar negara sebagai sasaran.

Terbaru, Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima aduan daripada pengurusan IPT swasta di Cyberjaya membabitkan pelajarnya yang mencagarkan pasport antarabangsa kepada 'lintah darat' itu untuk membuat pinjaman.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah berkata, golongan itu dikesan aktif menjalankan kegiatan menjerat pelajar luar negara untuk membuat pinjaman dengan mereka di luar kawasan kampus.

''Pihak universiti merayu kepada kerajaan supaya menghalang sindiket ini daripada mendekati pelajar kerana perbuatan tersebut ternyata menyusahkan pelajar.

''Kebanyakan pelajar ini masih muda dan seronok dapat pegang banyak duit, jadi kita perlu lakukan sesuatu untuk membanteras gejala ini kerana tujuan mereka ke sini adalah untuk belajar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Murugiah menambah, terdapat kes pelajar yang gagal membayar balik pinjaman telah ditahan oleh ah long termasuk dikurung sehingga gagal dikesan oleh pihak pengurusan universiti.

Pelajar itu juga katanya, tidak dapat pulang ke negara asal selepas tamat pengajian ekoran pasport antarabangsa mereka telah dirampas.

Dalam perkembangan berkaitan, BPA akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama Jabatan Imigresen, polis, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti terbabit esok untuk membincangkan beberapa isu berbangkit membabitkan pelajar asing. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...