Friday, September 11, 2009

PATI diberi amaran

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini diminta mendaftar segera dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan mereka dihantar pulang ke negara masing-masing tanpa dikenakan sebarang tindakan mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semua PATI harus mematuhi nasihat berkenaan memandangkan kerajaan kini mengenakan levi yang rendah terhadap mereka iaitu separuh daripada kadar biasa.

''Tindakan menahan PATI yang masih tidak mendaftar akan dilakukan dalam operasi pemutihan fasa ketiga yang akan dimulakan di Sabah pada bulan depan sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada satu tarikh yang belum ditetapkan.

''Langkah pemutihan ini selaras dengan usaha kita yang serius untuk mengurang kadar jenayah jalanan yang didapati turut dilakukan oleh PATI, sebanyak 20 peratus menjelang hujung tahun depan di empat buah negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk dan peniaga di Bandar Puteri, Puchong yang merupakan satu daripada 50 kawasan panas yang dikenal pasti sebagai kerap berlaku jenayah.

Ini adalah kali pertama Hishammuddin melawat kawasan panas selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai lalu mengumumkan langkah-langkah mengurangkan kadar jenayah yang merupakan salah satu daripada enam bidang keberhasilan utama negara (NKRA) yang telah ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah pemutihan itu yang sebahagian besar akan melibatkan PATI dari Indonesia tiada kena mengena dengan tindakan penunjuk perasaan bersenjatakan buluh runcing menahan kenderaan di Jakarta kelmarin dalam gerakan yang dipanggil 'Sapu Malaysia' bagi mencari dan mengusir rakyat negara ini.

''Jangan ada pula pihak tertentu yang mendakwa ini sebagai tindak balas kepada apa yang berlaku di Indonesia, kerana kita sudah lakukan (pemutihan) bertahun-tahun dahulu," katanya.

Jelas Hishammuddin, bukan satu budaya di kalangan rakyat dan kerajaan Malaysia untuk menghukum rakyat Indonesia di sini dan beliau memberi jaminan bahawa mereka selamat di negara ini.

''Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pihak di negara ini supaya tidak terikut dengan emosi dan rentak segelintir pihak di Indonesia yang berniat tidak baik dan cuba merenggangkan hubungan kedua-dua negara,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihak polis telah mengambil langkah untuk tempoh sederhana bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan panas dengan menambah balai polis bergerak dan yang disewa serta meningkatkan bilangan pondok polis.

''Penyelesaian untuk tempoh panjang pula adalah untuk menambah bilangan anggota polis di kawasan panas dan menaik taraf atau membina balai baru serta memasang lebih banyak lampu jalan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...