Tuesday, September 8, 2009

Pahang sokong Felda ganti pekerja asing

TEMERLOH 7 Sept. - Kerajaan Pahang menyokong usaha Felda untuk menggantikan tenaga kerja asing yang bekerja di ladang Felda Plantations dengan pekerja tempatan menjelang 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Teknologi Maklumat, Sains dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, usaha Felda itu secara tidak langsung dapat menghapuskan masalah pengangguran di kalangan rakyat tempatan.

Bagaimanapun kata beliau, Felda perlu menyediakan skim yang menarik supaya pekerja tempatan yang bekerja di ladang-ladang milik anak syarikat agensi itu mempunyai jaminan masa depan.

''Sebenarnya, kalau Felda menyediakan insentif yang menarik seperti gaji yang berpatutan, pemberian bonus, skim tuisyen dan sebagainya, ramai rakyat tempatan berminat bekerja di ladang Felda Plantations.

''Selain itu, kekurangan pekerja tempatan ekoran sikap sesetengah pengurusan ladang yang lebih mengutamakan tenaga kerja asing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Yusof Noor yang mahu agensi itu menggantikan tenaga kerja asing dengan pekerja tempatan apabila kerajaan menamatkan kontrak mereka pada tahun 2020, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Sharkar, walaupun Felda Plantations lebih mudah berurusan dengan pekerja asing tetapi pada masa sama mereka juga perlu melihat kesan sampingan seperti gejala sosial dan kejadian jenayah yang dilakukan pekerja terbabit.

Antaranya kata beliau, berlaku banyak kes rogol, pecah rumah, merompak dan menyamun yang dilakukan warga asing terbabit.

''Walaupun Felda Plantations mengaut keuntungan besar tetapi ia membawa kerugian dari sudut ancaman keselamatan, ketenteraman awam dan kerugian kepada masyarakat serta kerajaan.

''Kerajaan terpaksa meningkatkan peruntukan bagi menambah bilangan anggota polis serta menyediakan pelbagai kelengkapan bagi menangani kes-kes jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...