Monday, September 14, 2009

NGO landasan terbaik cipta kedamaian


RAJA Dr. Nazrin Shah menyampaikan kurniaan kepada Francis Yap dari Persatuan Kebajikan Orang-orang Kurang Upaya (OKU) Ipoh di Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, semalam.

IPOH 13 Sept. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, badan-badan amal dan kebajikan adalah platform yang baik untuk menyatukan hasrat dan usaha membina negara Malaysia yang aman damai.

Titah baginda, ini kerana badan itu dapat mempertemukan hati warga Malaysia yang ingin mencari kebaikan dan melaksanakan kebajikan.

"Pelbagai agama dan kumpulan etnik, dari pelbagai strata sosial dan status ekonomi dapat menggabungkan sumber, tenaga, fikiran dan usaha secara produktif lagi konstruktif melakukan kerja-kerja murni," titah baginda di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Kurniaan Yayasan Sultan Azlan Shah di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Sebanyak 71 pertubuhan sukarela, badan amal dan kebajikan dari pelbagai agama dan kumpulan etnik di negeri ini menerima bantuan berjumlah RM1.42 juta.

Tahun lalu, yayasan itu menyampaikan bantuan berjumlah RM1.18 juta kepada 59 organisasi.

Raja Nazrin bertitah, organisasi tersebut dapat memperlihatkan semangat pengorbanan tinggi di samping menyemai semangat ingin memberi daripada menerima di kalangan warga Malaysia.

"Adalah menjadi harapan agar kurniaan ini dapat terus memberikan inspirasi, semangat dan tenaga kepada pelbagai badan amal untuk terus melaksanakan usaha-usaha murni demi manfaat dan kebaikan rakyat jelata," titah baginda.

Baginda bertitah, setiap organisasi yang menerima bantuan perlu mengemukakan akaun tentang kaedah wang tersebut dibelanjakan.

"Laporan kewangan yang dikemukakan itu akan dapat membantu urus setia yayasan membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa depan," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, al-Quran menyeru manusia mengerjakan ibadah dan melakukan amal jariah.

Baginda bertitah, segala peristiwa dan setiap kejadian merupakan ujian terhadap tahap keimanan dan ketakwaan, serta sifat sabar, tabah, yakin dan bersyukur.

Titah baginda, kejayaan adalah anugerah Ilahi dan ia wajib diurus dengan baik kerana kejayaan tidak kekal selamanya jika disalah urus.

"Kejayaan yang berjaya diuruskan secara amanah dan cekap akan membina kejayaan yang lebih gemilang.

"Manusia tidak harus alpa malah wajib mencerminkan sifat kesyukuran dan mengamalkan budaya berterima kasih setelah mencapai atau dikurniakan kejayaan," titah Raja Nazrin. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...