Wednesday, September 30, 2009

Melaka&Negeri Sembilan: Warga asing banjiri pusat beli-belah

Oleh Lum Chee Hong
bhnews@bharian.com.my

Rakyat tempatan bimbang gangguan akibat pergaduhan

SEREMBAN: Pemandangan warga asing membanjiri kawasan rekreasi dan pusat beli-belah setiap kali cuti umum, termasuk Aidilfitri bukan saja berlaku di ibu kota, Kuala Lumpur tetapi turut boleh dilihat di bandar ini.

Antara tempat tumpuan warga asing kebanyakannya dari Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar berkenaan ialah pusat beli-belah Terminal One, The Store, KM Plaza, Dataran Seremban dan Taman Tasik Seremban.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan warga tempatan yang bimbang berlaku pergaduhan di kalangan kumpulan warga asing itu, selain mengganggu warga tempatan terutama perempuan.

Seorang penduduk tempatan, Nur Amira Hamid, 30, berkata warga asing terbabit biasanya keluar berkumpulan dan berkumpul di tempat tumpuan sehingga menimbulkan rasa bimbang walaupun mereka sekadar bersembang dan melepak.

"Selagi mereka tidak melakukan perkara yang memudaratkan seperti bergaduh sesama sendiri atau mengganggu warga tempatan, tidak mengapa. Namun, pihak berkuasa perlu memantau mereka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kontrak warga Indonesia yang hanya mahu dikenali sebagai Shasilan, 34, berkata dia hanya berkumpul bersama rakan bagi menghabiskan cuti sempena Aidilfitri.

"Biasanya waktu lain dihabiskan dengan bekerja dan inilah masanya untuk bertemu serta berkumpul bersama rakan. Lagipun, suasana Aidilfitri di sini jauh lebih meriah berbanding Indonesia," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...