Sunday, September 6, 2009

Kerajaan kaji bonus kakitangan awam

Oleh Azman Mahmood dan Khairul Azran Hussin
bminggu@harian.com.my


NAJIB beramah mesra bersama penduduk sambil diperhatikan Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor (tiga dari kiri) ketika mengadakan lawatan rasmi ke kuarters JKR, Cheras, semalam.

KSN bincang dengan Cuepacs untuk tindakan lanjut

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang berbincang dengan Cuepacs mengenai tuntutan bayaran bonus untuk kakitangan awam pada tahun ini.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan sedang dalam perundingan mengenai perkara itu.

"Tunggulah...KSN tengah berbincang dengan Cuepacs," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di di Batu 2 1/2 Jalan Cheras kira-kira setengah jam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman percaya kerajaan akan memberi keputusan positif mengenai bonus atau wang sagu hati kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam untuk tahun ini.

Beliau berkata, Cuepacs berharap bonus kali ini dibayar sebelum Aidilfitri.

Katanya, pihaknya sudah menghantar surat mengenai tuntutan bonus itu baru-baru ini kepada Najib untuk mendapatkan pertimbangan sewajarnya.

"Kita belum mendapat reaksi balas mengenai perkara itu tetapi Cuepacs berharap kerajaan tidak mengecewakan harapan 1.2 juta kakitangan awam terutama bagi mereka yang berada dalam Kumpulan Sokongan Satu dan Dua yang amat mengharapkan sedikit sumbangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

"Cuepacs tidak memaksa...terserah kepada kerajaan berapa jumlah sanggup dibayar (bonus atau sagu hari). Yang penting kita (kakitangan awam) dapat menikmatinya dan kalau dibayar sebelum raya lagi bagus," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tahun lalu, setiap kakitangan kerajaan menerima bonus sebulan gaji atau sekurang-kurangnya RM1,000.

Omar berkata, Majlis Tertinggi Cuepacs akan bermesyuarat Selasa ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai permintaan bonus atau sagu hati tahun ini. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...