Saturday, September 19, 2009

Kementerian cadang kurangkan yuran pengambilan amah

KLUANG: Kementerian Sumber Manusia bercadang mengurangkan yuran pengambilan pembantu rumah Indonesia yang disifatkan sesetengah majikan negara ini sebagai terlalu tinggi dan membebankan, kata Menterinya, Datuk S Subramaniam, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah pengurangan yuran yang dicadangkan oleh kementeriannya, selagi perkara mengenainya belum dibincang dengan rakan sejawatan di Indonesia.

"Kita akan berunding dengan pihak Indonesia tentang cadangan untuk mengurangkan yuran pengambilan pembantu rumah daripada negara terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya 2009 di sini.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengemukakan cadangan pengurangan yuran pengambilan pembantu rumah Indonesia itu ketika rundingan bersama kedua-dua negara bulan depan atau bulan berikutnya.

Terdapat majikan di negara ini yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi di antara RM6,000 hingga RM7,000 untuk membayar yuran bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah warga Indonesia.

Mengenai cadangan supaya gaji minimum pembantu rumah Indonesia dinaikkan sehingga RM800 sebulan, Subramaniam berkata cadangan itu tidak pernah disuarakan secara rasmi pihak berkuasa republik itu.

"Ia tidak pernah disuarakan secara rasmi oleh pihak berkuasa Indonesia. Cadangan terbabit hanya datang daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan negara itu," katanya.

Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia akan hanya menangani isu gaji minimum pembantu rumah Indonesia itu jika ia dikemukakan secara rasmi oleh pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu, Subramaniam berkata kementeriannya bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Perladangan dan Komoditi telah mengadakan dialog dengan persatuan majikan pelbagai industri baru-baru ini.

Katanya, Persatuan majikan terbabit memaklumkan kesukaran mereka untuk mendapatkan pekerja tempatan ketika syarikat-syarikat sedang berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada pelanggan berikutan pemulihan ekonomi antarabangsa ketika ini.

Kerajaan, katanya, mahukan syarikat terbabit mementingkan pekerja tempatan untuk mengelak kebanjiran tenaga pekerja asing di negara ini, tetapi pada masa yang sama tidak mahu menjejaskan operasi syarikat. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...