Thursday, September 3, 2009

Johor: Pantau pekerja asing

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my

GELANG PATAH: "Jangan risau melihat banyak penempatan pekerja asing dibina," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian.

Katanya, kerajaan melalui polis serta Jabatan Kesihatan akan sentiasa memantau kawasan berkenaan supaya bebas jenayah dan segala penyakit berbahaya.

Aziz berkata, beliau mengakui sebahagian besar penduduk di bandar ini, agak gelisah melihat semakin banyak penempatan pekerja asing dibina berhampiran kawasan perumahan mereka tetapi langkah pembinaan penempatan pekerja asing itu sebenarnya, amat perlu.

Katanya, melalui pembinaan kawasan penempatan itu, ia akan memudahkan pihak berkuasa mengawasi gerak geri pekerja asing serta mengumpul segala maklumat mengenai golongan berkenaan.

"Memanglah, kalau boleh kita tidak mahu mereka berkeliaran tidak tentu hala di kawasan rumah penduduk tempatan, tetapi jika dibiarkan mereka akan bebas tinggal di mana saja, ia lebih susah untuk diawasi," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan serta kebimbangan kira-kira 10,000 penduduk sekitar Taman Nusa Perintis dan Taman Gelang Emas di sini, berhubung kebimbangan peningkatan kadar jenayah serta pencemaran bunyi di kawasan rumah mereka terutama bagi mereka yang tinggal berdekatan dengan sebuah penempatan asrama warga asing yang sudah hampir siap untuk didiami.

Berita Harian edisi Johor pada 24 Ogos lalu, menyiarkan laporan mengenai penempatan pekerja asing di kawasan berkenaan yang dibina sebuah syarikat bagi menempatkan golongan berkenaan berhampiran dengan penempatan penduduk tempatan.

Aziz berkata, kawasan Gelang Patah atau lebih tepat lagi Nusajaya kini, semakin berkembang pesat dengan pelbagai projek pembangunan terutama sekali membabitkan sektor perkilangan selain pembinaan Iskandar Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini, ada empat penempatan pekerja asing di kawasan berkenaan iaitu di Taman Universiti, Sungai Melayu, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Taman Gelang Emas dengan jumlah pekerja asing melebihi 5,000 orang.

Katanya, semua penempatan berkenaan mempunyai aspek keselamatan sendiri termasuk pengawal keselamatan, bank, klinik, selain kedai runcit bagi membolehkan pekerja asing tidak keluar ke kawasan penduduk tempatan.

"Bagaimanapun, masyarakat setempat perlu sedar bahawa mereka juga perlu keluar dari kawasan penempatan berkenaan untuk bersosial dan kita tidak boleh menyekat keperluan ini.

"Saya mengarahkan polis supaya memberikan perhatian lebih di kawasan terletaknya penempatan pekerja asing bagi mengelakkan berlaku jenayah di taman perumahan berhampiran selain pemantauan daripada Jabatan Kesihatan bagi mengelakkan penularan penyakit yang mungkin dibawa golongan ini," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...