Monday, September 7, 2009

Jakarta tidak minta gaji amah RM800: Subramaniam

KUALA LUMPUR: Kadar gaji pembantu rumah warga Indonesia tidak dibincangkan dalam mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Indonesia di Jakarta, Sabtu lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Indonesia tidak membangkitkan isu gaji minimum secara rasmi dalam mesyuarat jawatankuasa bersama yang diwakili wakil kedua-dua negara.

Katanya, beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat kedua di Jakarta baru-baru ini masih belum selesai dan akan diteruskan dalam mesyuarat ketiga yang dijangka diadakan dalam tempoh satu atau dua bulan.

"Isu kerajaan Indonesia meminta kadar gaji minimum RM800 sebulan juga tidak dibincangkan dan mereka tidak membangkitkannya.

"Ia bukan satu permintaan rasmi dari pihak Indonesia dan saya berpendapat isu kadar gaji RM800 sebulan itu digembar-gemburkan pihak media," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan dan peruntukan kepada 130 badan sukarela seluruh negara, di sini.

Isu kadar gaji minimum RM800 sebulan bagi pembantu rumah Indonesia mula dibangkitkan dalam media tempatan dan Indonesia minggu lalu.

Bagaimanapun, mesyuarat kedua antara Malaysia-Indonesia yang diadakan pada 5 September lalu hanya membincangkan isu berkaitan struktur gaji, penyelarasan kadar bayaran majikan dari Malaysia kepada ejen dan pemberian cuti satu hari kepada amah yang bekerja di negara ini.

Malah, Subramaniam berkata, berdasarkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua negara pada 2007, ia menetapkan gaji pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini adalah berdasarkan kadar gaji pasaran.

Beliau berkata, sekiranya gaji pembantu rumah Indonesia hendak dipinda, MoU 2007 itu juga perlu dipinda. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...