Friday, September 4, 2009

Indonesia tuntut gaji amah RM800 sebulan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia akan mengemukakan tuntutan gaji minimum pembantu Indonesia di negara ini kepada RM800 (2.3 juta Rupiah) sebulan, meningkat daripada RM400 hingga RM500 yang ditawarkan ketika ini, pada mesyuarat dua hala yang akan diadakan di Jakarta, esok.

Perkara itu dinyatakan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Da’i Bachtiar, dalam satu perjumpaan berbuka puasa bersama-sama 400 pekerja asing Indonesia di pejabatnya, malam tadi.

Pembantu rumah Indonesia di sini menerima antara RM400 hingga RM500 sebulan, tetapi sejak Mac lalu, gaji mereka dinaikkan kepada RM600 sebulan di bawah lanjutan tempoh pekerjaan.

Isu pembantu rumah terutama layanan majikan dan gaji diperdebatkan sehingga Jakarta mengambil tindakan membekukan sementara penghantaran pekerja mereka termasuk pembantu rumah ke Malaysia.

Dua minggu lalu, kumpulan kerja dari Indonesia mengadakan rundingan di Putrajaya dengan menawarkan beberapa persetujuan, termasuk majikan Malaysia bersetuju bahawa pasport pekerja pekerja akan dipegang sendiri, dan pemberian cuti rehat sehari setiap minggu selain bersetuju mengkaji semula gaji yang ditawarkan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...