Wednesday, September 9, 2009

Indonesia tetap gaji minimum amah RM600

KUALA LUMPUR: Indonesia mewajibkan majikan yang mahu memperbaharui pasport pembantu rumah warga negara itu membayar gaji bulanan RM600, berbeza kadar sebelum ini antara RM500 hingga RM550.

Syarat itu terkandung dalam surat perjanjian yang perlu ditandatangani oleh majikan dengan pembantu rumah bagi membolehkan perkhidmatan mereka disambung.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan yang mengesahkan perkara itu, berkata syarat yang dikenakan oleh Indonesia itu bermula 1 Januari lalu.

"Gaji bulanan RM600 itu selaras mengikut kadar pasaran semasa di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam ketika diminta mengulas, berkata beliau tidak tahu mengenai syarat itu kerana tidak pernah dibangkitkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia, tetapi berjanji akan menyiasatnya secara terperinci.

Kaunselor Menteri (Maklumat, Sosial dan Kebudayaan) Kedutaan Indonesia di Malaysia, Widyarka Ryananta, ketika dihubungi pula enggan mengulas.

Raja Zulkepley juga menjelaskan memang ada cadangan sesetengah pihak di Indonesia untuk menetapkan kadar gaji minimum RM800, namun Papa berpendapat ia tidak munasabah untuk dilaksanakan.

"Saya difahamkan, cadangan itu mungkin dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Indonesia akan datang.

"Pada prinsipnya, gaji yang dicadangkan itu tidak sesuai dilaksanakan. Sebenarnya kualiti pembantu rumah yang perlu diberi keutamaan kerana kebanyakan mereka berkelulusan rendah serta tidak tahu membaca," katanya.

Raja Zulkepley berkata, Persatuan Perusahaan Tenaga Kerja Indonesia ada menyatakan hasrat mengemukakan cadangan kepada kerajaan Indonesia supaya kadar gaji minimum itu ditetapkan sehingga RM800.

"Saya memberitahu mereka kadar itu tidak munasabah kerana ia perlu dibuat mengikut kadar pasaran semasa negara ini. Jika dibawa, saya minta kerajaan kedua-dua negara menimbangkannya supaya tidak membebankan majikan Malaysia. Gaji sekarang sudah memadai berdasarkan pasaran semasa," katanya.

Beliau berkata, Indonesia tidak boleh membuat perbandingan kadar gaji dengan negara Asia Barat, Hong Kong atau Taiwan kerana taraf kehidupannya berbeza.

"Walaupun mereka menerima gaji lebih tinggi seperti Hong Kong yang menawarkan RM1,700, pembantu rumah Indonesia perlu membeli peralatan sendiri seperti syampu, sabun dan ubat gigi.

"Ini berbeza dengan majikan Malaysia yang membeli semua peralatan serta makan, minum yang sebenarnya mencecah RM1,500 sebulan," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...