Monday, September 14, 2009

Indonesia perlu bertindak

IPOH 13 Sept. - Kerajaan Indonesia digesa mengambil tindakan tegas dan segera membendung penularan 'anasir-anasir jahat' yang cuba merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) berkata, beliau bimbang sekiranya situasi seumpama itu dibiarkan, ia akan menyebabkan keadaan bertambah buruk.

''Saya minta kerajaan Indonesia mengambil tindakan yang tegas dan cepat supaya jangan biarkan mereka yang membuat angkara ini merebak.

''Malaysia juga mesti berhati-hati kerana apabila punca yang berlaku ini jika tidak ditangani nanti, saya bimbang risikonya akan lebih besar," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program Nur Hidayah di Masjid Ar-Rahman di Kampung Sungai Tapah di sini hari ini.

Beliau mengulas pendapat Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini yang menyentuh tentang sentimen kebencian yang disemarakkan oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia terhadap Malaysia.

Antara yang dibangkit dan dipertikaikan oleh pihak anti Malaysia tersebut termasuklah soal tarian Pendet Bali, lagu Negaraku dan tuntutan gaji minimum pembantu rumah negara itu sebanyak RM800 sebulan.

Mengulas lanjut, katanya, ramai pekerja asing termasuk dari Indonesia terutamanya pembantu-pembantu rumah datang ke Malaysia kerana mereka menerima layanan yang baik daripada para majikan masing-masing.

Sehubungan itu, ujar beliau, hubungan yang terjalin secara tidak langsung antara rakyat kedua-dua negara wajar dipelihara dengan baik.

''Jangan terguris hati orang Malaysia sebab kita sayang 'keluarga' kita daripada Indonesia. Saya bercakap sebagai seorang ibu dan orang (majikan) yang mempunyai pembantu rumah," katanya.

Shahrizat juga berharap, pihak berkuasa di negara ini akan melakukan tindakan sama terhadap pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan yang telah terjalin dengan negara jiran itu sejak sekian lama. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...